Permulaan baik Siti Safiyah di kejohanan Piala Dunia
Pemain elit wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memulakan cabarannya dengan baik apabila menduduki tempat ketujuh daripada 71 peserta di pusingan pertama peringkat kelayakan bowling Piala Dunia.
Siti Safiyah, 24, mengumpulkan 1,675 jatuhan pin dalam aksi yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Ahad, demikian menurut laman web rasmi kejohanan www.qubicaamf.com.
Juara edisi 2010 dan 2011, Aumi Guerra dari Republik Dominic muncul pendahulu selepas menjatuhkan 1,738 pin diikuti juara bertahan dari Colombia, Clara Juliana Guerrero (1,737) manakala Geraldine Ng dari Singapura ketiga dengan 1,714 pin.
Bagi kategori lelaki, wakil negara Muhammad Rafiq Ismail sekadar menduduki tangga ke-28 daripada 86 peserta selepas tamat aksi pusingan pertama peringkat kelayakan.
Pemain berusia 20 tahun dari Singapura, Muhammad Jaris Goh Alli Akbar Goh mencuri tumpuan apabila muncul pendahulu dengan 1,855 jatuhan pin diikuti Francois Louw dari Afrika Selatan (1,845) dan peserta Venezuela, Ildemaro Ruiz Jr (1,798).
Hanya 24 peserta terbaik di peringkat kelayakan masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita, akan mara ke pusingan seterusnya sebelum lapan pemain terbaik layak beraksi dalam perlawanan satu lawan satu secara liga sepusingan.
Selepas itu, tiga pemain terbaik lelaki dan wanita akan mara ke peringkat akhir stepladder untuk menentukan juara.
Sebagai rekod, Syafiq Ridhwan Abdul Malek adalah satu-satunya pemain Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan ini pada edisi 2012 yang dilangsungkan di Poland.
- Bernama

