Bintang muda negara, Goh Jin Wei mencatat sejarah menjadi pemain perseorangan wanita pertama Malaysia muncul juara di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru, awal pagi ini.

Jin Wei, 15, pemain ranking kelima remaja dunia itu menewaskan rakan senegara Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua daripadanya, 21-15, 21-16 dalam masa 35 minit.

Kejayaan itu melengkapkan tahun cemerlang buat Jin Wei selepas menjadi pemain paling muda dalam skuad badminton negara di Sukan SEA Singapura, Jun lepas.

Di Singapura, Jin Wei yang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan, selain membantu skuad negara mara ke final acara berpasukan wanita.

Jin Wei, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, di sini mula diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan pada akhir tahun lepas dan dilatih bekas pemain negara yang juga bekas jurulatih perseorangan wanita Indonesia, Wong Tat Meng serta Rony Agustinus.

Kali terakhir Malaysia muncul juara di Kejohanan Remaja Dunia adalah pada 2011 apabila Zulfadli Zulkiffli dan pasangan Nelson Heg Wei Keat/Teo Ee Yi, masing-masing merangkul gelaran perseorangan dan beregu lelaki.

Sementara itu, pemain Taiwan, Lu Chia Hung muncul juara perseorangan lelaki selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 17-21, 21-10, 21-7 ke atas Siril Verma dari India dalam masa 50 minit.

KEPUTUSAN:

Perseorangan lelaki: Lu Chia Hung (TPE) mn Siril Verma (IND) 17-21, 21-10, 21-7.

Perseorangan wanita: Goh Jin Wei (MAS) mn Lee Ying Ying (MAS) 21-15, 21-16.

Beregu lelaki: He Jiting/Zheng Siwei (CHN) mn Joel Eipe/Frederick Sogaard Mortensen (DEN) 21-14, 21-16.

Beregu wanita: Chen Qingchen/Jia Yifan (CHN) mn Du Yue/Li Yinhui (CHN) 21-18, 13-21, 21-11.

Beregu campuran: Zheng Jiwei/Chen Qingchen (CHN) mn He Jiting/Du Yue (CHN) 21-19, 21-8.

- Bernama