Selepas melakukan 43 tries dalam 73 perlawanan, Jonah Lomu 'dipaksa' berehat kerana masalah kesihatan pada 2004.

Sejak itu jarang kedengaran kisahnya dalam media massa - sehinggalah hari ini apabila legenda ragbi itu disahkan meninggal dunia secara mengejut di Auckland, New Zealand.

Dikenali dengan larian kencang walaupun memiliki tubuh yang besar, Lomu bermain untuk negaranya sebanyak 63 kali sejak melakukannya kali pertama pada 1994.

Dia dianggap sebagai bintang ragbi bertaraf global pertama dalam sejarah.

Lomu, 40, sempat menghiburkan peminat ragbi antara 1994 hingga 2002 dan masalah kegagalan buah pinggang memaksa dia berhenti beraksi pada 2004.

Rawatan melalui pembedahan buah pinggang pada 2004 menyelamatkan nyawa Lomu namun organnya itu berhenti berfungsi pada 2011.

Ketua Eksekutif Persatuan Ragbi New Zealand, Steve Tew berkata, Lomu adalah legenda dalam sukan itu dan disayangi peminat di seluruh dunia.

"Kematiannya sangat mengejutkan dan takziah diucapkan kepada keluarga beliau," katanya.

Pemain terbaik dunia

Sementara itu jurucakap keluarga Lomu memberitahu televisyen New Zealand, kematian atlet memiliki ketinggian 1.96 meter itu "sangat mengejutkan".

"Dia baru saja pulang dari United Kingdom selepas menghabiskan masa di sana untuk menyaksikan pertandingan Piala Dunia Ragbi," katanya

Perdana Menteri New Zealand John Key turut mengucapkan takziah kepada keluarga Lomu.

Dalam temubual dengan Daily Mail pada Ogos lalu, Lomu berkata dia berharap dapat menjalani pemindahan buah pinggang kedua tidak lama lagi.

Lomu pernah berkahwin dua kali dan bercerai sebelum ini. Ketika menghembus nafas terakhirnya, Lomu berkahwin dengan isteri ketiganya, Nadene Quirk.

Mereka memiliki dua anak lelaki.

Lomu membuat kemunculan pertama pada 1994 di Christchurch ketika New Zealand melawan Perancis.

Walaupun tidak pernah memenangi Piala Dunia, dia adalah salah seorang daripada dua pemain terbaik dunia bersama Bryan Habana dari Afrika Selatan yang melakukan 15 tries dalam 11 perlawanan bagi tempoh 1995 hingga 1999.

Beberapa pemain dunia juga menyatakan rasa sedih dan terkejut dengan kematian Lomu.

Antara mereka ialah bekas pemain kebangsaan England, Jonny Wilkinson.

I am so, so devastated to hear of the passing away of @JONAHTALILOMU The greatest superstar and just a fabulous human being. Deeply saddened

— Jonny Wilkinson (@JonnyWilkinson) November 18, 2015