Tindakan jujur seorang penyokong bola sepak Terengganu membuat bayaran balik duit tiket dan memohon maaf kerana memasuki stadium secara 'haram' menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Perbuatan individu itu diketahui apabila dia menulis surat - bertarikh 8 November 2015 - untuk memaklumkan mengenai 'dosanya' memasuki stadium tanpa tiket.

Turut dikepilkan bersama surat itu ialah wang bernilai RM15. Surat itu ditujukan kepada Pengurus Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Memohon maaf memasuki Stadium Sultan Zainal Abidin tanpa pas pelepasan (tiket) semasa perlawanan bola sepak antara Terengganu menentang Lions XII," begitu tajuk surat berkenaan.

Pengirim memaklumkan kejadian itu berlaku pada 4 November lalu dan dia turut mengakui kesalahannya.

Surat permohonan maaf dari seorang penyokong Terengganu FA yang telah memasuki stadium tanpa tiket ketika perlawanan menentang LionsXII baru-baru ini. #Respek

Posted by HarimauMalaya on Monday, 16 November 2015

Individu misteri yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai "Hamba Allah" berkata, dia memasuki kawasan stadium dengan memanjat masuk pagar kawasan itu.

Katanya, perbuatan berkenaan dibuat tanpa berfikir panjang dan dipengaruhi rakan-rakan.

"Tanpa sedar saya telah melakukan kesalahan yang ditetapkan oleh pihak tuan, saya takut itu kesalahan ini akan dibicarakan di mahkamah Allah," tulisnya.

Dia juga "menyesali perbuatan" berkenaan serta berazam tidak mengulanginya lagi.

"Dengan ini saya sertakan duit sebanyak RM15 untuk membayar balik harga pas masuk stadium," katanya.

Mengakhir surat tersebut, penulis berharap permohanan maaf itu diterima PBSNT.

Sementara itu, Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, beliau turut terkejut dengan surat tersebut.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara tersebut benar atau sebaliknya.

"Saya belum dapat maklumat daripada pejabat PBSNT mengenainya. Jika betul, baguslah sebab dia jujur dan sedar dengan kesilapan dilakukan," kata Wan Ahmad Nizam kepada Malaysiakini .