Lima calon ganti Blatter kemudi Fifa
Hanya lima tokoh bola sepak yang melepasi saringan integriti dan layak bertanding merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, (Fifa) pada tahun depan.
Badan induk bola sepak dunia itu akan bermesyuarat dan mengadakan pemilihan presiden baru pada 26 Februari 2016 untuk menggantikan Sepp Blatter yang teruk dipalit dengan skandal rasuah.
Dua lagi calon yang menyatakan minat merebut jawatan itu ialah Michel Platini (Perancis) dan Musa Bility (Liberia) namun kedua-dua mereka dianggap tidak layak kerana berdepan siasatan dakwaan salah laku.
Menurut Fifa, saringan integriti dibuat berdasarkan kepada beberapa aspek, termasuk rekod perniagaan, kes mahkamah, kemuflisan dan potensi didapati bersalah atas tuduhan jenayah.
Berikut adalah lima calon yang dianggap layak bertanding Februari tahun depan:
* Putera Ali Al-Hussein
Dilahirkan pada 23 Disember 1975, beliau merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Barat dan Naib Presiden Fifa.
Percubaan Ali menjadi Presiden Fifa kali ini adalah yang kedua selepas dia tewas kepada Blatter dalam cabaran pertama dilakukannya pada Mei lalu.
Sebelum aktif sepenuh masa dalam sukan bola sepak, beliau berkhidmat sebagai komander keselamatan khas Raja Abdullah II sehingga 28 Januari 2008.
* Sheikh Salman Ebrahim Al-Khalifa
Selain pernah memegang jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Bahrain, Sheikh Salman juga adalah Presiden Kesatuan Bola Sepak Asia (AFC) sejak 2 Mei 2013 hingga sekarang.
Pencalonan beliau sebagai calon Presiden Fifa dilihat bakal menimbulkan kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia.
Ia berikutan dakwaan beliau bersubahat dalam jenayah kemanusiaan berkaitan penubuhan jawatankuasa khas mengenal pasti 150 atlet - termasuk pemain bola sepak - yang terlibat dalam demonstrasi menuntut hak golongan Syiah dan penghapuskan monarki di Bahrain pada 2011.
Ramai daripada atlet tersebut kemudian dipenjara dan diseksa. Bagaimanapun Sheikh Salman menafikan dakwaan tersebut.
* Jerome Champagne
Gagal untuk bersaing dengan bekasnya bosnya - Blatter - kerana tidak cukup pencalonan pada pemilihan Mei lalu tidak memberi kekecewaan kepada Champagne.
Kali ini beliau berjaya melepasi syarat untuk bersaing dengan calon lain.
Dilahirkan di Paris pada 15 Jun 1958, Champagne merupakan bekas diplomat Perancis dan kemudian berkhidmat sebagai perunding bola sepak antarabangsa.
Kerjaya dalam tadbir urus bola sepak diteruskan apabila berkhidmat Champagne menjadi penasihat antarabangsa kepada Presiden Fifa (1999-2002), timbalan ketua setiausaha (2002-2005), wakil presiden (2005 hingga 2007 dan sebagai pengarah perhubungan antarabangsa (2007 hingga 2010) di bawah Blatter.
* Gianni Infantino
Beliau merupakan Setiausaha Agung Uefa sejak 2009 dan calon kegemaran badan bola sepak Eropah selepas Michel Platini.
Sepanjang berada dalam lingkungan Uefa, Infantino banyak mengubah gerak kerja badan bola sepak di Eropah melalui inisiatif seperti 'finacial fair play' di setiap peringkat.
Dia juga memiliki latar belakang pendidikan perundangan dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Pelesenan Kelab Uefa pada Januari 2004.
Dalam tempoh itu, Infantino menjadi pencetus hubungan rapat Uefa dengan Kesatuan Eropah, Majlis Eropah dan pihak kerajaan sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua setiausaha pada tahun 2007.
Calon yang dilahirkan pada 23 Mac 1970 ini dilihat pengganti kepada Platini sebagai Presiden Fifa.
* Tokyo Sexwale
Seorang ahli politik, usahawan dan pernah dipenjara selama 13 tahun di Pulau Robben selepas pembabitan dalam gerakanantiapartheid di Afrika Selatan.
Disifatkan sebagai seorang pemimpin berwibawa, selepas pilihan raya umum Afrika Selatan 1994 Sexwale menjadi menteri di Wilayah Gauteng sebelum berkhidmat Menteri Penempatan Manusia 2009-2013.
Sexwale didokong oleh Kesatuan Bola Sepak Afrika Selatan (CAF) sebagai Presiden Fifa dengan harapan untuk melihat seorang anak kelahiran benua itu menjadi peneraju badan induk bola sepak dunia.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman khusus dalam bidang sukan nombor satu dunia itu, Sexwale, 62, diyakini mampu mengemudi Fifa dengan pengalaman politik dan pentadbiran sepanjang kariernya.

