Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mengakui prestasi pasukan Harimau Malaya belum mampu setanding dengan negara lain di Asia sehingga langkah diatur sering terkandas dalam perjalanan.

"Semua sedia maklum melalui keputusan perlawanan yang kita lalui menunjukkan tahap pasukan kita tidak memadai menggalas cabaran di peringkat Asia.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memperbaiki pelbagai aspek dan memperkuatkan pasukan untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara dahulu," katanya kepada Malaysiakini.

Cubaan Harimau Malaya untuk mendapat tempat dalam Piala Dunia tidak kesampaian apabila tumpas kepada Palestin 0 - 6 beberapa hari lalu.

Tanpa mata mencukupi, Malaysia berada di tempat keempat dengan satu-satunya pasukan di bawah Harimau Malaya adalah Timor Leste.

Skuad kebangsaan juga kempunan untuk bersaing di Piala Asia pada 2019 nanti.

Kim Swee berkata, semua pihak pasti mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan namun ia tidak mampu menjadi kenyataan kerana tahap bola sepak negara belum berada di kedudukan yang cukup baik.

"Apa yang perlu dilakukan juga adalah melakukan proses transisi antara pemain muda dan senior dalam pasukan kebangsaan.

"Ia perlu dibuat bermula selewat-lewatnya pada tahun depan," katanya yang mengambil alih jawatan Dollah Salleh sejak September lalu.

Terserah kepada FAM

Terdahulu, Dollah melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih kebangsaan selepas Malaysia diaibkan dengan kekalahan 0 - 10 oleh Emiriah Arab Bersatu pada 3 September lalu.

Berbanding prestasi ketika di bawah kendalian Dollah, anak buah Kim Swee berjaya mencipta satu kemenangan ketika bertemu Timor Leste pada aksi kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Bagaimanapun, barisan pemain negara tewas semula 0 - 6 kepada Palestin dalam perlawanan di Amman, Jordan pda Khamis lepas.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati sejak mengendalikan skuad kebangsaan, ternyata Kim Swee ( gambar ) juga belum berpuas hati.

Namun, sisi baiknya ialah, pasukan negara dilihat mampu memberi saingan dan tekanan kepada pihak lawan jika beraksi di stadium sendiri.

"Ini berdasarkan rekod pertemuan kita dengan Arab Saudi dan UAE. Pemain kebangsaan mampu bermain lebih baik berbanding ketika beraksi di gelanggang lawan," jelas bekas pemain kebangsaan itu.

Sementara itu, tugas Kim Swee bersama skuad Harimau Malaya bakal berakhir pada penghujung bulan ini berdasarkan kontrak beliau dengan FAM.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau menyerahkan statusnya kepada FAM sebelum mengambil langkah untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih bola sepak.

Kim Swee juga mengakui namanya adalah salah satu yang ada dalam pertimbangan panel penilai khas yang akan melantik jurulatih kebangsaan tidak lama lagi.

"Ya, saya juga membuat permohonan sebagai ketua jurulatih Malaysia. Terpulang kepada FAM untuk membuat keputusan. Saya sudah lama berkhidmat dengan FAM dan pemilihan (jurulatih) akan diputuskan selewatnya hujung tahun ini," katanya.