Hari ini ulang tahun 46 gol ke-1,000 Pele
Pada tarikh ini, 46 tahun lalu, legenda bola sepak Brazil, Pele, menjaringkan gol peribadinya yang ke-1,000.
Ia bagaimanapun bukan perkara mudah buat Pele atau nama sebenar Edson Arantes do Nascimento, walaupun jaringan ketika beraksi bersama kelab Santos itu hanya tendangan penalti.
"Ketika itu, seolah-olah saya sedang bertarung dengan seluruh dunia.
“Banyak halangan terpaksa ditempuhi," katanya seperti mana diceritakan dalam web rasmi Fifa.
Pada perlawanan di Stadium Maracana, Brazil itu, Santos bertemu kelab Vasco da Gama dan Pele dicabar peminat yang mahu melihat jaringan ke-1,000 pemain itu.
Sebelum menentang Vasco, Santos terlebih dahulu bertemu sebuah kelab 'bawahan' dari Botafogo Paraiba dan menang mudah dengan jaringan 2-0 termasuk gol ke-999 Pele.
Penyokong berharap beliau dapat menghasilkan gol ke-1,000 pada perlawanan itu, tetapi gagal dihasilkan.
Dua hari kemudian (16 November 1969), Santos bertandang ke Salvador untuk menentang Bahia. Pele melepaskan beberapa peluang untuk mencipta gol bersejarah pada perlawanan di Fonte Nova itu.
Dua peluang keemasan gagal disempurnakan. Palang gol dan tepisan penjaga gol lawan menghalang Pele mencipta sejarah tersebut.
"Pada satu saat, saya cuba menendang bola, tetapi dihalang pemain pertahanan lawan.
"Anehnya, penyokong tuan rumah bukan bersorak gembira tetapi mencemuh pemain pertahanan itu," kata pemain yang dilahirkan pada 23 Oktober 1940 itu.
Akhirnya pada pertemuan dengan Vasco, usaha Pele mencipta gol ke-1,000 yang bukan mudah. Dia terpaksa berhadapan seorang penjaga gol handal, Edgardo Andrada yang menjadi idola peminat bola sepak di Maracana ketika itu.
Penampilan epik Andrada memberi ujian besar buat Pele, malah di minit ke-75 dengan kedudukan 1-1 dia belum berhasil menjaringkan gol.
"Sebahagian besar penonton sangat mengharapkan saya berjaya menjaringkan gol pada perlawanan itu. Namun pemain Vasco berusaha keras menggagalkan hasrat saya," kata Pele.
Namun, pada minit ke-78 Pele dijatuhkan di kawasan kotak penalti sekali gus dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.
"Untuk kali pertama sepanjang bermain bola sepak, saya berasa teramat gugup. Sukar digambarkan perasaan ketika itu.
"Andrada berada pada tahap terbaik persembahannya, saya tak pernah berasa tekanan begitu besar sebelum ini. Namun, cuma saya yang boleh mengatasi segala perasaan itu," katanya.
Akhirnya, tendangan ke sudut kiri gawang dan dapat dibaca Andrada, tetapi bola meluncur deras. Itulah gol ke-1,000 atau O Milesimo Pele sepanjang kariernya.
Gol tersebut juga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama 20 minit kerana jurugambar dan penonton bertindak masuk ke padang stadium untuk meraikan kejayaan itu.
Selepas menggantung kasut bolanya 1977, Pele dinobatkan sebagai pemain keempat yang menjaringkan gol terbanyak dalam sepanjang bola sepak dunia dengan 1,284 jaringan.
Penjaring terbanyak ialah Josef Bican dengan 1,468 gol, diikuti Gerd Mueller (1,461), dan pendahulu Pele, Arthur Friedenreich (1,324).

