Mourinho masih diyakini di Chelsea
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich dilaporkan masih mempunyai keyakinan kepada Jose Mourinho, untuk membawa kelab itu keluar daripada kehinaan ketika ini.
Salah seorang pembantu rapat Abramovich, Michael Emenalo mendedahkan, hartawan dari Russia itu berpendapat Mourinho sudah menyumbang begitu banyak jasa kepada Chelsea dan situasi buruk mereka ini boleh diselamatkan.
Emenalo yang juga pengarah teknikal Chelsea berkata, ketika ini The Blues "terperangkap dalam momentum negatif" sehingga menjerumuskan mereka ke tangga ke-16 EPL.
Bercakap kepada The Telegraph , Emenalo berkata, pegawai tertinggi Chelsea masih memberi keyakinan kepada Mourinho.
Ia adalah kenyataan terbuka pertama dibuat Emenalo sejak menyertai kelab itu pada 2007.
Katanya, dia tampil memberi penjelasan bagi pihak Chelsea kerana suasana di Stamford Bridge tidak begitu memberangsangkan.
"Pengurus kami kelihatan dibiarkan sendirian untuk berjuang," katanya.
Berada di kelompok bawah EPL, Chelsea hanya mencatat tiga kemenangan daripada 12 perlawanan setakat ini. Selebihnya adalah dua kali seri dan tujuh lagi kalah.
Jumpa Norwich esok
Mourinho dikenakan larangan berada bersama pemainnya di tepi padang ketika kelab itu kecundang kepada 0 - 1 kepada Stoke City.
Sejak musim 2015/16 ini bermula, Mourinho sudah didakwa oleh FA England sebanyak dua kali ekoran isu disiplin.
Emenalo berkata, penting bagi kelab dan Abramovich menunjukkan bahawa Chelsea kini memiliki "tahap pertanggungjawaban" tertentu.
Emenalo, 50, bekas pemain antarabangsa Nigeria dan dibawa masuk ke Stamford Bridge oleh Avram Grant yang menjadi pengurus Chelsea ketika itu.
Dia kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengarah teknikal pada 2011 dan menangani strategi latihan pasukan utama kelab berkenaan.
Emenalo dan Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia adalah dua individu dianggap paling rapat dengan Abramovich.
Apabila Chelsea tumpas kepada Southampton bulan lalu, Chelsea mengeluarkan kenyataan mengesahkan Mourinho mendapat "sokongan penuh" daripada pengurusan kelab.
Sejak itu Chelsea kalah tiga perlawanan dan hanya menang sekali.
Mereka akan berdepan dengan Norwich City pada jam 11 malam esok.

