Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM masih belum menerima laporan daripada panel pemilihan khas berhubung senarai pendek calon untuk jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata panel pemilihan khas itu masih belum mengadakan sebarang mesyuarat berhubung pemilihan tersebut.

"Senarai pendek calon untuk pemilihan jawatan tersebut masih belum ada. Saya ada dengar bisikan yang mengatakan, lambat sikit tapi ia akan diumumkan sebelum masuk tahun baru.

"Apa yang boleh saya kaji balik ialah, macam mana nak pendekkan masa pemilihan tersebut. Itu kita akan jumpa orang pengurusan dalam jawatankuasa dan jabatan teknikal untuk mempercepatkan proses pemilihan," katanya selepas merasmikan bengkel Hala Tuju Bola Sepak Malaysia, di Kelana Jaya hari ini.

Bengkel anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) di Wisma FAM itu dihadiri lebih 30 jurulatih tempatan dari seluruh negera.

Abdul Mokhtar berkata panel pemilihan khas akan menilai latar belakang 15 calon yang memohon jawatan itu sebelum menyerahkan hasil penilaian kepada jawatankuasa tersebut dan keputusan akhir akan dilakukan oleh FAM.

Panel pemilihan khas itu terdiri daripada enam individu termasuk tiga wakil Majlis Sukan Negara (MSN), timbalan pengerusi jawatankuasa pasukan petugas Datuk Mohd Junid Mohd Noor, bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan dan Pengarah Teknikal FAM Fritz Schmid.

Media sebelum ini melaporkan jawatan ketua jurulatih kebangsaan yang kini dilaksanakan sementara oleh ketua jurulatih skuad bawah 23, Datuk Ong Kim Swee sepatutnya diketahui pada 30 Oktober lepas.

Kim Swee dilantik oleh FAM bagi mengendalikan sementara skuad Harimau Malaya bagi baki lima perlawanan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bermula dengan perlawanan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kosong setelah Dollah Salleh meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 0 - 10 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan ketiga kumpulan A di Abu Dhabi pada 3 September lalu.

- Bernama