Tunggu apa lagi? Tukarlah
Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa), Datuk T Mohan menyifatkan sistem bola sepak Malaysia ketika ini mengalami kegagalan dan perlu diubah segera.
Menurut beliau, kaedah kejurulatih sedia ada tidak mampu membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik di masa akan datang.
"Sistem yang kita ada sekarang sudah gagal. Kalau sudah gagal apa yang kita nak tunggu lagi? Tukarlah kepada sistem lain yang lebih bagus.
"Dengan sistem yang kita guna sekarang, kita tak boleh pergi jauh. (Dengan sistem sekarang) apa lagi kita nak ubah suai, dah tak berguna," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Kejohanan Bola Sepak Belia Mifa 2016, di One City Mall, USJ, hari ini.
Mohan turut mempersoalkan kreadibiliti jurulatih tempatan yang dipertikaikannya kerana dibimbangi belum dapat mengadaptasi kaedah kejurulatihan baru.
"Kita kena cari sistem yang lebih baik, lebih fokus dengan apa yang diperlukan.
"Kalau dulu kita tengok kemahiran di kaki sudah cukup. Sekarang kena bermain dengan otak. Fikiran kena berjalan seiring dengan kaki.
"Jadi adakah jurulatih yang kita ada boleh bagi latihan seperti mana yang kita perlukan sekarang? Itu mustahak," katanya.
Berdasarkan realiti semasa
Kenyataan itu dibuat ketika peminat bola sepak negara terus kempunan melihat skuad kebangsaan melangkah lebih jauh di peringkat Asia atau dunia.
Minggu lalu pasukan kebangsaan secara rasmi gagal melangkah ke pusingan seterusnya dalam usaha mendapat tempat ke Piala Asia dan Piala Dunia.
Pada masa sama FAM masih belum memilih jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan ekoran kekalahan mengaibkan 0 - 10 kepada Emiriah Arab Bersatu.
Tanpa mahu mengkritik mana-mana pihak, Mohan berkata, pandangan yang diberikannya itu dibuat berdasarkan realiti semasa.
"Kita lihat dalam liga (tempatan) yang memerlukan kos yang tinggi, tetapi pemain yang dilahirkan tidak seberapa (bagus).
"Jadi apa yang saya lihat adalah kaedah kejurulatihan kena ada pembaharuan, kena bawa cara baru untuk kemajuan bola sepak jangka masa panjang," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha Mifa, Mohan berkata, pihaknya komited untuk membuka 30 pusat latihan di seluruh negara - termasuk di luar bandar - untuk mencari bakat baru bermula tahun depan.
Katanya, Mifa menyasarkan penyertaan lebih 1,000 belia di pusat latihan tersebut sebelum ditengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Jika 10 peratus daripada jumlah itu kita lihat mempunyai bakat yang baik, mereka boleh diketengah untuk bermain di peringkat kelab, negeri dan negara.
"Apa yang penting adalah organisasi bola sepak perlu lebih turun ke peringkat akar umbi untuk mencungkil bakat baru dan saya percaya kita boleh lahirkan ramai pemain yang bagus," katanya.

