Berjaya menewaskan Manchester City dengan jaringan 4-1 di Stadiun Ettihad awal pagi tadi, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tampil memuji persembahan anak buahnya.

"City tidak bermula dengan permainan yang mereka inginkan, bagi kami itu menguntungkan. Kami bermain dengan semangat tinggi dan itulah perkara paling penting," katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

‎"Kami mempunyai kualiti. Kami mampu menjaring lebih banyak gol, tetapi 4-1 sudah cukup sempurna.

"Sekarang barisan pemain percaya bahawa mereka lebih kuat daripada yang orang lain fikirkan," ujar Klopp.

Empat gol The Kop tercipta melalui gol sendiri pemain City, Eliaqium Mangala pada minit kelapan, Philippe Coutinho (23'), Roberto Firmino (32') dan Martin Skrtel (81').

Sementara 'The Citizen' hanya memperkecilkan jurang melalui jaringan tunggal Sergio Aguero pada minit ke-44.

"Kami perlu belajar bagaimana mahu mendahului jaringan dengan jelas. Melalui hasil seperti ini, para pemain akan mula percaya dengan diri sendiri," kata jurulatih dari Jerman berusia 48 tahun itu.

Kemenangan dalam perlawanan ke-13 itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengumpul 20 mata.

Bagi anak buah Manuel Pallegrini, mereka kekal dengan pungutan 26 mata‎ untuk berada di kedudukan ketiga liga.