Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Mifa komited lahirkan pemain bola sepak kaum India

Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa) yakin lebih ramai pemain kaum India yang berkualiti untuk mewakili negara dalam tempoh empat tahun bermula sekarang.

Ketua Jurulatih Mifa, Jacob MJ Joseph berkata melalui pogram pencarian bakat bola sepak di peringkat akar umbi melibatkan kaum tersebut pihaknya percaya lebih ramai pemain dapat dilahirkan.

"Mifa akan membuka 30 pusat latihan di seluruh negara bermula tahun depan dan memberi penekanan kepada bakat baru dalam lingkungan usia 12 hingga 18 tahun," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas mengenai usaha Mifa, Jacob berkata, pihak pengurusan persatuan itu mahu membantu organisasi bola sepak lain dalam melahirkan pemain di kalangan kaum India.

"Kita sedar suasana bola sepak kita sekarang kekurangan pemain daripada kaum India. Jadi Mifa mengambil tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pemain India di pelbagai peringkat.

"Mungkin sekarang tiada pihak yang tertarik dengan program Mifa, kita yakin selepas ini pemain-pemain daripada Mifa akan mencuri tumpuan pasukan bola sepak dan FAM sendiri," katanya.

Bekas jurulatih Angkatan Tentera Malaysia itu juga berkata beliau diberi kepercayaan untuk melihat potensi pemain muda dan akan menjelajah ke seluruh Malaysia khususnya kawasan yang menjadi penempatan kaum India.

"Apa yang dirancang ini bukan hanya untuk Mifa, tetapi untuk Malaysia. Kita mahu melahirkan leih ramai pemain yang betul-betul mempunyai bakat dan pemain bola sepak berbilang kaum untuk negara," katanya.

Terdahulu, Presiden Mifa, Datuk T Mohan mensasarkan penyertaan lebih 1,000 belia di pusat latihan tersebut sebelum ditengahkan ke peringkat lebih tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS