Malaysia Dragons tepis 'gigitan' Mono Vampire
Bukan cinta biasa, tetapi serangan bertubi-tubi Mono Vampire yang beraksi di Stadium MABA sememangnya berbisa.
Westports Malaysia Dragons bertemu dengan Mono Vampire dari Thailand buat kali pertama dan berjaya menumpaskan lawan dengan 68 berbalas 64 mata.
Ini merupakan kekalahan kali kelima buat pasukan dari Thailand. Mono Vampire belum menempa kemenangan dalam liga setakat ini.
Dalam minit terakhir perlawanan tersebut, pemain kebangsaan Kuek Tian Yuan benamkan tiga mata pada 21.4 saat sebelum wisel penamat.
Jaringan Tian Yuan berjaya menepis serangan terakhir Mono Vampire dan mengesahkan kemenangan buat Dragons.
"Apabila saya menunggu hantaran bola dari Jason Brickman, saya berasa sangat yakin untuk menjaringkan tiga mata itu," kata Tian Yuan.
Malaysia Dragons bermula dengan kawalan pertahanan dan berjaya mendahului Mono Vampire dalam suku pertama (18-9) dan suku kedua (41-32). Mono Vampire tetap mencuba nasib mereka untuk mengurangkan defisit mata di bawah 10.
Pasukan Thailand itu kebanyakannya terdiri daripada pemain lokal dan hanya menampilkan dua pemain import, iaitu Anthony McClain dan Quincy Okolie.
Nasib tidak memihak kepada pasukan Malaysia apabila Vampire kembali dengan serangan bertubi-tubi dan melumpuhkan barisan pertahanan Dragons. Mono Vampire mendahului suku ketiga dengan kelebihan dua mata, 51-53.
Malaysia Dragons mula berubah pengaturan strategi serangan terhadap Vampire dan seri beberapa kali dalam suku terakhir. Darongpan Apiromvilaichai dari Mono Vampire yang juga antara pemain utama kebangsaan Thailand menjaringkan mata penyamaan pada minit 3:25 dan kedua-dua pasukan masih terikat pada 62 mata.
Selang seminit selepas 'time out', Darongpan benamkan dua mata lagi untuk Vampire mendahului perlawanan itu. Tetapi, Matthew Wright dari Dragons mengukuhkan serangan dari Malaysia dengan lay-up selepas Calvin Godfrey membuat satu jaringan penalti.
Malaysia Dragons kini di hadapan Vampire dengan satu mata, 65-64.
Asakan demi asakan Dragons di barisan pertahanan akhirnya membuahkan hasil pada minit terakhir dengan hantaran licin daripada Jason Brickman kepada Kuek Tian Yuan untuk menjaringkan tiga mata itu.
Mono Vampire terpaksa akur dalam kekalahan kelima dalam pertemuan kali pertama dengan Malaysia Dragons pada saat akhir perlawanan itu dengan 68 berbalas 64 mata.
Dragons masih kukuh di tangga kedua di belakang Hi Tech Bangkok City dengan 4:1.
Liga bola keranjang ASEAN (ABL) yang bermula sejak Oktober lalu menampilkan 6 pasukan dari Asia Tenggara; Hi Tech Bangkok City dan Mono Vampire dari Thailand, Westports Malaysia Dragons, Singapore Slingers, Pilipinas MX3 Kings dan Saigon Heat.
Westports Malaysia Dragons akan bertemu Saigon Heat pada perlawanan seterusnya di Ho Chi Minh, Vietnam pada 28 November.

