Hampir seminggu selepas meninggal dunia, pegawai perubatan mencadangkan satu kemungkinan bagi menjawab punca kematian mengejut legenda ragbi dunia, Jonah Lomu.
Bekas pegawai perubatan untuk pasukan All Blacks, Dr John Mayhew berkata, penerbangan jangka panjang dari United Kingdom ke New Zealand dilalui Lomu mungkin menyebabkan pembentukan darah beku.
Dr Mayhew yang turut terbabit merawat masalah buah pinggang Lomu berkata, keadaan kesihatan semasa bekas pemain sayap All Blacks itu mendedahkannya kepada risiko berkenaan.
Lomu mengejutkan ramai apabila meninggal dunia pada 18 November lalu di rumahnya di Auckland, New Zealand.
Dia yang bersara daripada sukan ragbi sejak 2004 dilaporkan baru pulang dari United Kingdom kerana menyaksikan pusingan akhir Piala Dunia Ragbi dan melihat sendiri pasukan negaranya muncul sebagai juara.
Lomu berusia 40 tahun dan sepanjang kerjayanya gagal memenangi Piala Dunia.
Dalam penerbangan pulang Lomu hanya singgah sebentar di Dubai.
Lomu sendiri tak sangka
Kata Mayhew, apabila tiba di Auckland Lomu kelihatan sihat.
"Kami berpendapat kemungkinan besar berlaku darah beku pada paru-parunya yang terjadi akibat melalui penerbangan jauh.
"Dia sangat berisiko untuk mengalami masalah itu kerana keadaan buah pinggangnya," kata Mayhew.
Bagaimanapun, kata doktor itu, Lomu sendiri tidak menyedari atau menyangka sama sekali apa yang boleh berlaku terhadapnya.
Laman sesawang Pusat Kawalan Penyakit AS menyatakan risiko pembentukan darah beku - biasanya pada kaki - meningkat dua hingga empat kali ganda jika seseorang melalui penerbangan jarak jauh.
Ia semakin berbahaya untuk seseorang yang kurang sihat.
Syarikat penerbangan pula menasihati penumpang supaya berjalan-jalan dalam badan pesawat atau memakai sarung kaki ketat bagi mengelak gelaja itu.
Jenazah Lomu akan dipamerkan kepada orang ramai di Stadium Eden Park di Auckland pada 30 November ini untuk membolehkan penghormatan terakhir diberikan terhadapnya.
Stadium itu mempunyai kapasiti penonton sehingga 50,000 orang.
Pengebumian rasmi kemudian diadakan sehari kemudian.
