Benitiez masih diyakini di Madrid
Presiden Real Madrid, Florentino Perez masih memberi kepercayaan penuh kepada Rafael Benitez untuk melaksanakan tugasnya walaupun jawatan pengurus itu bakal diisi orang lain ekoran hubungan renggang beliau dengan pemain.
Kekalahan memalukan kepada musuh ketat Madrid di La Liga, Barcelona hujung minggu lalu pula sekadar menguatkan lagi perkhabaran itu.
"Benitez mempunyai kemampuan dan mendapat sokongan penuh daripada kami," kata Perez.
Menurut Perez, Madrid mempunyai komposisi pemain hebat yang boleh menghiburkan penyokong. Justeru, katanya, penyokong diharap memberi sokongan sepenuhnya kepada skuad berkenaan.
"Kami menghadapi perlawanan dengan hasil buruk bertemu Barcelona, tetapi perkara ini sememangnya boleh berlaku.
"Benitez akan tetap mengendalikan pasukan Madrid. Tidak ada seorang pun yang terfikir untuk menggantikannya," tambah Perez.
Biar dia buat kerja
Dalam pertemuan digelar El Clasico pada Sabtu lalu, Barcelona menumbangkan Madrid dengan jaringan 4 - 0.
Luis Suarez menyumbang dua daripada gol berkenaan, manakala selebihnya adalah hasil jaringan Neymar dan Andres Iniesta.
Menurut Perez, dia sendiri tidak pernah mendengar penyerang Madrid, Christiano Ronaldo mendakwa kelab itu akan gagal di bawah Benitez.
"Dia adalah jurulatih yang tepat, kami menyasarkan kejayaan. Jadi biarkan Benitez bekerja," tegasnya.
Selepas mengharungi perlawanan ke-12, Real Madrid kini berada di tangga ketiga La Liga dengan perbezaan enam mata dengan Barcelona di posisi teratas, selain ketinggalan dua mata berbanding Atletico Madrid di tempat kedua.

