Satu pasukan gergasi bola sepak Malaysia bakal tumbang dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, bermula malam ini.
Penyandang juara musim 2013 dan 2014, Pahang dan juara 32 kali Selangor tidak asing lagi untuk anggap dua pasukan gergasi dan kali ini salah satu pasukan akan kecundang.
Namun, sama ada Pahang atau Selangor hanya salah satu sahaja bakal melangkah ke peringkat akhir selepas aksi separuh akhir pertama dan kedua.
Malam ini, skuad Tok gajah akan melayan kunjungan The Red Giants di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pastinya ada resipi dan motivasi tersendiri bagi kedua-dua pasukan menjelang pertemuan tersebut.
Lebih-lebih selepas isu penolakan kutipan enam mata bagi Pahang di kancah Liga Super lalu.
Ia sekali gus memberi laluan kepada Selangor yang disuntik semangat baru dalam misi menjuarai kali ke-33 Piala Malaysia di samping layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan.
Terdahulu, Selangor mengenepikan Sarawak di peringkat suku akhir dengan agregat 3-2, manakala Pahang menyingkirkan wakil dari Singapura, Lions XII dengan agregat 4-3.
Bagi pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan, barisan pemainnya perlu mengambil peluang untuk menjaring sebanyak mungkin gol di dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
"Ya malam ini kita perlu mengambil kelebihan bermain di tempat sendiri lebih-lebih lagi bertemu sebuah pasukan yang sedang meningkat naik seperti Selangor.
"Apa yang boleh saya katakan, seperti pasukan mengidamkan Piala Malaysia kerana ia berbeza dengan kejuaraan lain," katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas mengenai persiapan mereka, Zainal Abidin berkata, semua pemain Pahang bersiap sedia termasuk barisan pemain import.
"Cuma pemain pertahanan kita, Muhammad Abdul Aziz Ismail tidak dapat beraksi selepas menerima dua kad kuning pada perlawanan sebelum ini. Manakala Razman Roslan, Insya-Allah akan menyertai skuad," katanya.
Satu matlamat, misi berbeza
Sementara itu, Jurlatih Selangor, Mehmet Durakovic lebih selesa dengan turun sebagai pasukan 'underdog'.
"Semestinya Pahang sebuah pasukan yang cukup baik. Mereka sudah lama bersama sebagai satu pasukan untuk tempoh empat atau lima tahun. Tetapi kami akan memberi cabaran sebagai pasukan underdog.
"Apa pun bukan tugas mudah kerana Pahang dibarisi pemain-pemain terbaik di Malaysia dan pemain import terbaik," katanya seperti dilaporkan laman rasmi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Sementara itu, satu lagi akhir separuh akhir melibatkan Felda United dan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Felda United dilihat mempunyai kehebatan sendiri selepas berjaya menumpaskan JDT di Larkin Sabtu lalu dan Kedah pula tidak asing di Stadium MPS atas kejayaan menakluk PKNS FC.
Apa yang istimewa pada edisi Piala Malaysia kali ini, setiap pasukan membawa matlamat sama walaupun dengan misi berbeza.
Bagi Pahang, mereka pastinya dengan misi untuk menjulang piala nostalgik itu buat kali ketiga berturut-turut, manakala Selangor dengan misi meraih kejuaraan kali ke-33 selepas kali terakhir menjulangnya pada edisi 2005.
Sementara Kedah ingin membuktikan mereka mampu bangkit semula selepas terpelosok ke Liga Perdana selepas muncul juara kali terakhir pada 2008. Selain itu, Felda United dengan misi memburu kejuaraan pertama mereka.
