Bintang EPL yang kini bermain untuk kelab Manchester City, Yaya Toure, terlepas daripada hukuman selepas ditahan atas kesalahan memandu melebih had laju.

Yaya, 32, sedang memandu kereta buatan Jerman miliknya, Porsche 911 Turbo, apabila ditahan anggota polis pada malam 20 Mei lalu.

Kereta itu dianggar bernilai £120,000 (RM764,790).

Media hari ini melaporkan, Yaya - kini menerima gaji sebanyak £210,000 (RM1.34 juta) seminggu kemudian mengaku memandu pada kelajuan 101 batu sejam (160 kilometer sejam).

Bagaimanapun dia menafikan dakwaan lanjut bahawa kelajuan keretanya ialah 123 batu sejam (198 kilometer sejam).

Mahkamah Majistret Burton-on-Trent diberitahu, meter pecutan pada kenderaan Yaya menggunakan sistem kiraan kilometer, sedangkan Britain menggunakan kiraan batu.

Justeru, mahkamah memaafkan Yaya dan membebaskannya daripada tuduhan itu dengan alasan pemain antarabangsa dari Ivory Coast berkenaan dikelirukan oleh sistem meter pada keretanya.

Peguam Gwyn Lewis berkata Yaya sedar dia memandu laju tetapi meter pada kenderaannya tidak menunjukkan kadar yang tepat mengikut keadaan di Britain.

"Yaya mengaku salah memandu melebihi had laju seperti tuduhdan pertama, tetapi dia tidak pernah melakukan kesalahan jalan raya dan kenderaannya tidak bermasalah," katanya.

Di akhir perbicaraan - yang tidak dihadiri Yaya - hakim mengarahkan dia cuma membayar kos £2,020 (RM12,861) sebelum membebaskannya.

Jumlah itu adalah kurang daripada satu peratus daripada gaji mingguan Yaya.

Yaya sudah bermain sebanyak 170 kali untuk City sejak menyertai kelab itu pada 2010 dan kini menetap bersama isterinya di Cheshire.