Alex Ferguson menginatkan pemilik Chelsea, Roman Abramovich supaya "tidak bertindak bodoh" dengan memecat Jose Mourinho yang dianggapnya masih salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman.

Katanya Abramovic sudah memecat ramai pengurus Chelsea sejak 10 tahun lalu dan sepatutya hartawan Russia itu sudah mempelajari sesuatu.

"Dia perlu memberika kepercayaan dan keyakinan bahawa Mourinho boleh menyelamatkan Chelsea. Tak ada faedah memecat salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman, yang memenangi Piala Eropah dua kali dan menjuarai kejohanan liga di setiap negara yang pernah mendapatkan khidmatnya.

"Anda bertindak bodoh dengan memecat dia," katanya.

Chelsea kini berada jauh di bahagian bawah EPL dan hanya memiliki kelebihan dua mata untuk selamat daripada zon penyingkiran.

Dalam perlawanan terbaru The Blues tewas lagi - untuk kali kelapan - kepada Bournemouth. Ia menjadi lebih pedih kerana kekalahan itu berlangsung di gelanggang mereka sendiri.

Hadapi publisiti buruk

Keadaan itu menyebabkan Mourinho berdepan tekanan berat.

Namun Ferguson yang lebih dua dekat membimbing Manchester United yakin Mourinho adalah orang yang tepat untuk menyelamatkan Chelsea.

Dia juga mendedahkan ada menghubungi Mourinho.

"Saya menyaksikan perlawanan Chelsea dan bercakap beberapa kali dengannya.

"Ia adalah pengalaman pertama Mourinho berdepan kesukaran begitu. Tetapi jika anda melihat rekodnya secara keseluruhan, keadaan dialami Chelsea tidak membimbangkan.

"Ini adalah pengalaman pertama Mourinho menghadapi publisiti buruk," katanya.

Jelas Ferguson, dalam beberapa perlawanan Chelsea sepatutnya boleh menang dengan kelebihan beberapa gol namun ia berakhir dengan kekalahan.

Kesannya, kata Ferguson, Mourinho dan Chelsea mendapat publisiti buruk.

"Ia tidak pernah mudah untuk menghadapi dugaan begitu. Perhatian media pula diberi dengan meluas ketika sukan bola sepak menjadi industri kewangan yang besar.

"Bagi kes Mourinho, saya yakin setiap pemimpin yang baik akhirnya akan menemui penyelesaian. Keadaan akan kembali normal walaupun keadaan ketika ini tidak begitu baik," katanya.

Ditanya mengenai masalah terbesar Chelsea, Ferguson berkata, kelab iu terlepas pandang masalah kecederaan penjaga gol Thibaut Courtois dalam perlawanan pertamanya.

"Permulaan musim untuk John Terry juga kurang baik kerana dia berdepan cabaran dalam pasukan.

"Jika anda kehilangan dua pemain berpengaruh seperti mereka, kesan kepada pasukan memang besar," katanya.