Kalau sudah nasib dan tuah menyebelahi, begitulah.

Minggu lepas dia disabitkan kesalahan membunuh teman wanitanya dengan niat tetapi hari ini Oscar Pistorius dibenarkan diikat jamin dengan syarat pasportnya diserahkan kepada pihak berkuasa.

Pistorius juga mesti memakai perantik elektronik yang memudahkan pihak berkuasa mengesan lokasinya.

Media Afrika Selatan melaporkan panel peguam Pistorius akan mengemukakan rayuan kepada badan perundangan tertinggi negara itu, Mahkamah Perlembagaan, ekoran sabitan minggu lalu.

Pistorius, 28, ketika ini diletakkan di bawah hukuman tahanan dalam rumah di Pretoria hanya selepas setahun dipenjara atas kesalahan membunuh tanpa niat teman wanitanya, Reeva Steenkamp pada pagi Hari Valentine 2013.

Ekoran sabitan itu mahkamah mengarahkan Pistorius dipenjara enam tahun. Mengikut undang-undang Afrika Selatan banduan dibenarkan diletak di bawah tahanan rumah selepas menghabiskan satu perenam tempoh hukuman sebenar.

Mahkamah belum memutuskan hukuman yang sesuai dikenakan terhadap Pistorius. Mengikut undang-undang semasa, kesalahan membunuh boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun.

Hari ini dia hadir di mahkamah untuk memohon hakim membenarkan dia diikat jamin.

Hukuman belum tentu

Atlet digelar Blade Runner itu kelihatan tenang, malah gembira serta tersenyum ketika berbual dengan peguamnya.

Dalam afidavit dikemukakan, Pistorius mendakwa dia berkelakuan baik sepanjang tempoh hukuman. Dia juga tidak memiliki sebarang sumber pendapatan dan kehilangan "seluruh aset" yang pernah ada.

Pada masa sama Pistorius mendakwa dia sedang aktif mencari pekerjaan dan belajar - bidang perniagaan dan undang-undang - secara jarak jauh dengan Sekolah Ekonomi London.

Keadaan itu, katanya, memerlukan dia sentiasa mendapat akses kepada Internet.

Gerrie Nel yang menjadi pegawai pendakwa bersetuju dengan permohonan ikat jamin itu namun meminta Pistorius dilarang meninggalkan rumah bapa saudaranya - yang menjadi tempat tahanan rumahnya - kerana bimbang atlet terbabit melarikan diri ke Mozambique atau Itali.

Keluarga Pistorius mempunyai perniagaan di Zimbabwe manakala Itali pernah menjadi tempatnya berlatih olahraga.

Mahkamah akan bersidang lagi April 2016 untuk menentukan tarikh penghakiman. Ada kemungkinan keputusan mengenai hukuman terhadap Pistorius hanya akan ditentukan akhir tahun depan.