Pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid tampil garang apabila membelasah Malmo FF 8 - 0 dalam aksi kumpulan A Liga Juara-juara awal pagi tadi.

Bagaikan singa kelaparan - dalam perlawanan berlangsung di Satdium Santiago Bernabeu itu - tuan rumah hanya memerlukan tiga pemain untuk membolosi gawang lawan secara bertubi-tubi.

Empat gol daripada Cristiano Ronaldo, hatrik Karim Benzema dan gol tambahan Mateo Kovacic memberi kemenangan besar sekali gus terus meletakkan pasukan Madrid di tangga teratas kumpulan untuk selesa melangkah ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, dengan jaringan lapan gol tersebut Madrid masih gagal memecah rekod jurang terbesar pernah dicatatkan sepanjang Liga Juara-juara tersebut.

Rekod jurang gol terbesar pernah terjadi dalam sejarah kejohanan itu dicatat kelab Romania, Dinamo Bucuresti ke atas KR Reykjavic (Iceland) dengan jaringan 11 - 0 pada 1973.

Namun, Ronaldo ( gambar ) tetap memiliki momen terindah apabila berjaya mencipta 11 gol sepanjang perlawanan peringkat kumpulan musim 2015 ini.

Kejayaan itu bukan saja meninggalkan pencabar terdekatnya kali ini Robert Lewandowski (Bayern Munich) dengan lima gol, malah meleburkan rekod terdahulu (sembilan gol) yang dilakukannya serta Luiz Adriano sebelum ini.

Perlawanan terakhir kumpulan A itu juga menyaksikan Ronaldo dan Benzema muncul sebagai dua pemain yang berjaya menjaringkan hatrik dalam satu perlawanan di liga berprestij tersebut.

Sementara itu, bagi Kovacic, satu jaringan yang dijaringkannya buat Madrid menjadi gol pertama dihadiahkan kepada pasukan yang baru disertainya musim ini.

Pemain berusia 21 tahun dari Crotia itu dibeli Madrid dari Inter Milan.

Selain itu, kemenangan awal pagi tadi juga menyaksikan Madrid gagal dikalahkan sebanyak 21 kali dalam perlawanan fasa kumpulan Liga Juara-juara.

Kali terakhir mereka tewas ialah kepada Borussia Dortmund pada Oktober 2012.

Berdasarkan statistik Squawka Football, daripada 21 perlawanan tersebut, Los Blancos meraih 17 kemenangan dan empat seri. Skuad bimbingan Rafael Benitez itu juga mengumpul 62 gol berbanding bolos 14 jaringan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan tumpuan, Wolfsburg menunjukkan jalan keluar daripada persaingan liga berprestij itu kepada Manchester United selepas mereka menundukkan The Red Devils 3 - 2.

Dengan meraih lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri, United sekadar bertapak di tangga ketiga kumpulan B.

Keputusan penuh:

Kumpulan A:

Paris Saint Germain 2 - 0 Shakhtar Donetsk

Real Madrid 8 - 0 Malmoe FF

Kumpulan B:

PSV Eindhoven 2 - 1 CSKA Moscow

Wolfsburg 3 - 2 Manchester United

Kumpulan C:

Benfica 1 - 2 Atletico Madrid

Galatasaray 1 - 1 FC Astana

Kumpulan D:

Manchester City 4 - 2 Borussia Moenchengladbach

Sevilla 1 - 0 Juventus