Bernhardt pilihan FAM
FAM hari ini melantik Frank Bernhardt dari Jerman sebagai ketua jurulatih baru skuad B-23 Malaysia sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.
Jurulatih berusia 46 tahun itu dipilih sebulat suara oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas badan induk bola sepak negara itu bagi mengganti posisi yang disandang Datuk Ong Kim Swee.
Selain Bernhardt, dua calon lain yang turut berada dalam senarai pendek bagi proses temuduga pada 1 Disember lalu ialah bekas jurulatih kebangsaan Filipina, Michael Weiss dari Jerman dan Kim Swee yang kini bertindak sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan.
"Selepas mengkaji latar belakang Bernhardt dan mendengar pendapat daripada panel pemilihan, Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM bersetuju untuk melantiknya sebagai ketua jurulatih baharu skuad B-23 negara.
"Jadi selepas pengumuman ini, kita akan memanggil Bernhardt untuk perbincangan terma dan syarat kontraknya. Tapi pada dasarnya kita sudah mengetahui gaji dimintanya serta permintaan lain," kata Abdul Mokhtar dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan meneliti kontrak tersebut dan mungkin menawarkan tempoh khidmat selama dua tahun kepada Bernhardt sebelum ia dinilai semula.
"Cuma kita mahu memperhalusi sedikit lagi beberapa syarat dalam kontraknya itu nanti. Kita mungkin menawarkannya kontrak dua tahun dan akan menilai semula selepas Sukan SEA 2017.
"Memandangkan ini skuad projek Sukan SEA, sudah tentu KPI buat dirinya adalah untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 kerana Malaysia sebagai tuan rumah," jelas beliau.
Sementara itu, Bernhardt merupakan seorang jurulatih profesional yang memulakan kerjayanya pada 2001 bersama skuad bawah 19 tahun kelab Jerman, St Pauli FC sebagai penolong jurulatih.
Sebelum disunting FAM, beliau pernah membimbing Kalev Tallinn FC dari 2002 hingga 2013.

