Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Kurang dari 48 jam sebelum sepak mula kemuncak Piala Malaysia 2015 berlangsung di Shah Alam, kehangatan dan kemeriahannya semakin terasa.

Ketika setiap penyokong berdebar-debar menanti 'penghakiman' di atas padang, kumpulan muzik unik Kelembai ada cara tersendiri untuk meraikan detik itu.

Mereka yang terkenal dengan identiti yang tersembunyi menghasilkan apa yang mereka memang mahir - lagu.

Khas buat semua penyokong kedua-dua pasukan, lagu itu dihasilkan tanpa judul khusus, mahu pun memihak kepada mana-mana skuad.

"Lagu ini adalah penghargaan Kelembai kepada peminat kami yang terdiri daripada penyokong Kedah dan Selangor," kata gitaris yang hanya mahu dikenali sebagai Buang.

Menurut Buang, idea untuk menghasilkan lagu yang kini menjadi viral di laman sosial itu tercetus melalui perbualan antara mereka dengan peminat dalam aplikasi WhatsApp.

"Daripada itu, kami cuba menyempurnakan hasrat peminat. Dalam kumpulan sembang itu ada penyokong Kedah, Selangor dan negeri lain," katanya kepada Malaysiakini.

kalah menang adat pertandingan....raikan perbezaan...tingkatkan semangat kesukanan.... demi bolasepak kita bersatu....#respekmerahkuning #respekhijaukuning#respecteachother

Posted by Kelembaistudio Saz Official on Tuesday, 8 December 2015

Kelembai adalah sebuah kumpulan muzik yang misteri.

Dipercayai berada di utara Malaysia Kelembai 'menakluk' hati peminat melalui klip video yang menghiburkan ramai.

Antara klip lagu Kelembai yang popular ialah Sweet Child of Mine (nyanyian asal Gun N' Roses) yang didendangkan di bawah pokok rambutan bersama hiasan peti sejuk yang ikonik untuk mereka.

Pengadil juga penting

Dalam video lagu sepanjang kira-kira empat minit itu, Kelembai mengenakan kostum jersi dan stokin bola, manakala sebiji bola menghiasi aksi persembahan unik mereka.

Selain Buang, Kelembai dianggota empat pemuzik lain iaitu Raoh (bass), Tamin (gitaris), Budin (dram) dan Kuzie (vokalis).

Kelembai menjadi lebih unik apabila membuat pesembahan menggunakan penutup muka seperti topi topi keledar, baldi, topeng dan sapu tangan.

Selain itu, mereka juga mencipta video dengan kelainan yang sukar diduga penonton. Antaranya penyanyi keluar dari peti ais.

Sementara itu, Buang yang bertindak sebagai jurucakap Kelembai berkata, melalui lagu Piala Malaysia buat Kedah dan Selangor mereka mengharapkan kedua-dua pasukan dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

"Kita harap pemain dan penyokong sendiri tidak mudah emosional kerana ini satu perlawanan bola sepak. Adat bertanding ada yang kalah dan menang," katanya.

Selain itu, mereka juga mengharapkan perlawanan itu diawasi oleh barisan pengadil profesional bagi mengelak daripada situasi yang tidak diingin atau berat sebelah.

"Soal pengadil ini sangat penting. Kita tidak mahu berlaku seperti situasi sebelum ini.

"Jadi penganjur perlu memastikan mereka menyediakan pengadil yang terbaik," ujarnya yang juga penyokong JDT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS