Kerajaan negeri Kedah mengumumkan cuti umum pada hari esok (Ahad) sekiranya pasukan bola sepak negeri berjaya menjulang Piala Malaysia 2015, malam ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ‎setelah dibincangkan exco dan dipersembahkan bagi perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, kerajaan negeri membuat ketetapan tersebut.

"Sekiranya pasukan bola sepak Kedah memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini, hari Ahad, 13 Disember 2015 diisytiharkan sebagai cuti umum di negeri Kedah menurut Akta Cuti 1951," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pasukan Kedah yang berjaya melangkah ke peringkat akhir ‎bakal dicabar Selangor dalam aksi penuh debaran, di Stadium Shah Alam, jam 9 malam nanti.

"Sekiranya pekerja masih dikehendaki bekerja esok, majikan perlu mematuhi perkara berhubung bayaran gaji dan elaun lebih masa berganda bagi hari tersebut menurut Akta Pekerja 1955.

"Namun begitu, majikan boleh menggantikan cuti esok kepada hari lain tetapi masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan," tambah Mukhriz.