Piala Malaysia: Langit kian mendung, stadium kian hangat
Bahang perlawanan akhir Piala Malaysia semakin membara dengan kehadiran penyokong Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam, seawal pagi tadi dengan gaya dan kreativiti masing-masing.
Malah, bagi penyokong Hijau Kuning mereka dilaporkan sanggup menunggu di pekarangan stadium sejak subuh tadi lagi walaupun sepak mula perlawanan akhir hanya berlangsung pada jam 9 malam.
Pintu stadium pula hanya dibuka mulai jam 4 petang.
Bagi Mohd Azali Hashim, 35, dia yang menjadi penyokong setia Kedah sejak sekian lama datang ke Shah Alam bersama lima rakannya menaii menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang.
"Kami tiba kira-kira jam 5 pagi. Kami pilih untuk datang dengan bas sebab stadium pun dekat dengan stesen bas. Senang, dan tak perlu bersesak-sesak naik kenderaan sendiri," katanya kepada Malaysiakini .
Ditanya mengapa sanggup bersusah-payah datang ke Shah Alam, Mohd Azali berkata, bagi mereka apa yang lebih penting ialah memberikan sokongan maksimum kepada Kedah.
"Pastinya kami mahu raikan kemenangan malam ini," katanya.
Bagi sekumpulan penyokong dari Pendang yang diketuai Mohd Fazli Fadzil, 28, mereka memilih untuk berkonvoi menggunakan kereta.
"Kami dari kampung dengan dua buah kereta.
"Di lebuh raya kami jumpa penyokong lain dan berkonvoi bersama," katanya.
Sementara itu cuaca panas sehingga tengah hari tadi melapangkan dada kebanyakan peniaga yang membuka gerai di kawasan sekitar.
Bagaimanapun menjelang jam 4 petang, langit mula kelihatan mendung.
Sementara itu tepat jam 4 petang penonton dibenarkan masuk ke Stadium Shah Alam apabila pihak pengurusan mula membuka pintu di sekeliling bangunan bekenaan.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, penyokong Kedah dan Selangor tetap tidak teragak-agak memasuki stadium walaupun hujan lebat mula turun.
Sebagai langkah pencegahan kawalan keselamatan juga dipertingkatkan di pintu masuk.
Selain menyemak tiket, pegawai bertugas juga menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi menghalang sebarang objek berisiko diseludup masuk.
Tindakan itu dilihat berkesan apabila pelbagai barang dirampas daripada penonton, termasuk mercun, suar dan bunga api.
Tidak ketinggalan aktiviti ulat tiket.
Menunggu peluang untuk memperoleh keuntungan segera, beberapa individu dilihat menawarkan tiket perlawanan dengan harga lebih tinggi daripada sepatutnya.
Mangsa mereka tentulah peminat yang terlepas membeli tiket sebelum ini.
"Apa nak buat, bang. RM65 sekeping bang, tapi beli jugalah sebab tak sempat beli sebelum ini," kata seorang penyokong Kedah yang mahu dikenali sebagai Abidin.
Harga asal tiket itu ialah RM40.

