Mourinho tak berganjak
Pengurus Chelsea yang kini terus dilanda kontroversi, Jose Mourinho menepis khabar angin yang mengatakan beliau akan kembali ke dakapan Real Madrid.
Pengurus dari Portugal itu menegaskan, fokusnya kini adalah untuk mengembalikan persembahan The Blues ke tahap terbaik seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.
Media England sebelum ini melaporkan bahawa Madrid sedang menimbang untuk mengikat kontrak dengan Mourinho bagi membimbing kelab gergasi Sepanyol itu ekoran prestasi Chelsea di England begitu muram.
"Saya membayangkan akan menghabiskan kontrak bersama Chelsea. Saya masih terikat bersama
The Blues
sehingga lima tahun lagi," katanya dipetik media.
Bagaimanapun Mourinho bingkas menafikan dia pernah membuat kenyataan begitu.
Dengan tegas The Special One - gelaran yang diberikan Mourinho kepada dirinya sendiri - mendakwa fokus utamanya kekal bersama Chelsea.
"Selepas kontak berakhir, barulah mungkin saya boleh melatih kelab mana sekali pun," katanya.
Gagal bermegah seperti musim-musim lalu Chelsea mengumpul 15 mata daripada 15 perlawanan dan kini terperuk di tempat ke-14 daripada 20 kelab yang bersaing dalam EPL.
Kedudukan teratas pula dikuasai kelab Leicester City yang mengumpul 32 mata, diikuti Arsenal yang dibezakan dengan hanya dua mata. Manchester City terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Mourinho sebelum ini pernah mengendalikan pelbagai kelab di Eropah - termasuk Inter Milan - dan membawa Madrid menjuarai La Liga dan Copa del Rey.
Selepas kejayaan menjuarai EPL bersama Chelsea musim lalu, Mourinho dilihat bertukar watak dengan kontroversi seperti mengkritik pengadil dan bergaduh dengan pegawai perubatan kelab di awal musim ini.
Chelsea akan berdepan Leicester di Stadium King Power dalam perlawanan yang bermula pada jam 4 pagi Isnin (waktu Malaysia).

