FAM puji final tanpa mercun, suar, bom asap
Disiplin penyokong pasukan Selangor dan Kedah ketika menonton perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi wajar diberi pujian.
Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, semua penyokong Selangor dan Kedah telah memberikan kerjasama baik kepada pihak pengurusan stadium dan pihak berkuasa sepanjang perlawanan itu berlangsung.
"Pujian harus diberikan kepada penyokong kedua-dua pasukan yang cukup berdisiplin tinggi tanpa mencetuskan sebagai kekecohan sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan untuk memastikan kelancaran perlawanan akhir kali ini.
"Kehadiran kira-kira 70,000 penyokong Selangor dan Kedah telah menghidupkan suasana meriah sepanjang perlawanan dan saya dapati tanpa perlu membakar mercun, bom asap atau suar pun mereka tetap boleh memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Hamidin, pihaknya berharap sikap dan kelakuan baik penyokong Selangor dan Kedah itu dapat diteruskan dan dicontohi penyokong pasukan-pasukan lain ketika perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini.
"Saya turut memuji pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memberi kerjasama baik dengan pihak FAM bagi memastikan perlawanan akhir kali ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan semua yang hadir menyaksikannya di stadium.
"Ternyata kehadiran kira-kira 2,200 anggota polis dan pihak keselamatan telah berjaya mengawal keadaan di dalam dan luar stadium dengan baik sebelum, pada dan selepas perlawanan," katanya yang turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pasukan juara iaitu Selangor.

