Pemain naturalisasi bukan pilihan pingpong Malaysia
Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) tidak berhasrat menggunakan khidmat pemain naturalisasi, sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai jaguh tempatan.
Presiden TTAM, Tan Sri Koo Yuen Kim berkata adalah lebih baik jika Malaysia melatih pemain tempatan berbanding 'membeli' pemain naturalisasi, seperti dari China.
"Pemain dari China banyak menjadi pemain naturalisasi di negara lain kerana mereka mempunyai ramai pemain yang berpotensi...jadi Malaysia juga boleh menjadi seperti China.
"Kita boleh lahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti yang setanding dengan pemain naturalisasi. Lagipun bagi pemain naturalisasi mereka perlu menjadi rakyat Malaysia dahulu," katanya kepada pemberita pada sidang media Kejohanan Berpasukan Dunia, di Petaling Jaya hari ini.
Kejohanan Berpasukan Dunia yang dianjurkan kali kedua oleh Malaysia yang dijangka disertai 96 pasukan lelaki dan 87 pasukan wanita dari 111 negara itu, dijadualkan bermula pada 28 Feb hingga 6 Mac 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam.
Seramai 1,350 delegasi termasuk 744 atlet telah mendaftar diri untuk kejohanan berprestij itu dan Malaysia selaku tuan rumah akan diwakili 10 pemain yang beraksi dalam acara lelaki dan wanita.
Tiga pemain lelaki sedia ada ialah Mohd Shakirin Ibrahim, Leong Chee Feng dan Muhammad Ashraf Haiqal manakala bagi wanita pula ialah Ng Sock Khim, Ho Ying dan Amanda Wong Ee Ling. Baki empat lagi pemain akan dipilih daripada Kejohanan Kebangsaan yang sedang berlangsung di Mentakab, Pahang.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Beh Lee Wei berkata semua pemain yang terpilih akan menjalani latihan di Zhending, China, sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum kejohanan bermula.
"Saya harapkan pemain kita akan buat kejutan, bukan sahaja pemain wanita tetapi juga lelaki. Walaupun untuk ke final agak sukar, saya tahu mereka sudah bersedia menghadapi cabaran daripada pemain terbaik dunia.
Beh mengakui pemain kali ini lebih muda dan kurang berpengalaman tetapi kesungguhan mereka bakal membuktikan keupayaan sukan ping pong negara.
Sepanjang kejohanan itu, sebanyak 500 tiket percuma akan diedarkan setiap hari kepada pelajar sekolah bagi memupuk semangat cintakan sukan terutamanya ping pong.
- Bernama

