Memang pertembungan yang paling mahu dielakkan namun tiada yang dapat diubah lagi - Arsenal akan berdepan dengan gergasi La Liga, Barcelona dalam perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-juara.

Setiausaha Arsenal, David Miles, berkata pertemuan itu pasti sukar walaupun pasukan yang kini berada di tempat teratas EPL akan membuat persediaan terbaik.

"Peminat Arsenal kalau boleh tak mahu melihat kelab ini berdepan dengan Barcelona pada peringkat sekarang namun kami akan melakukan yang terbaik.

"Arsenal memiliki pemain kelas dunia sendiri dan pasti kami akan melakukan sebaik mungkin.

"Ia sepatutnya perlawanan hebat dan ditunggu-tunggu ramai peminat," katanya.

Bagi pihak Barcelona, pertemuan dengan The Gunners memang dinantikan.

Pengarah Barcelona, Albert Soler, berkata peminat pasti terhibur kerana kedua-dua pasukan memiliki gaya permainan yang cantik.

"Kedua-dua kelab juga mempunyai fahaman yang sama mengenai bola sepak," katanya.

Dalam undian hari ini, Arsenal yang nyaris terkeluar pada peringkat kumpulan diundi menentang Barcelona.

Dua lagi kelab England - Chelsea dan Manchester City - dilihat berdepan lawan yang lebih mudah.

Chelsea yang muram di peringkat liga tempatan di England akan menentang kelab Perancis, Paris St-Germain, manakala City bakal melayan Dynamo Kyiv.

Satu lagi kelab gergasi La Liga, Real Madrid bakal berdepan dengan kelab Itali, AS Roma.

Perlawanan pertama peringkat kalah mati akan diadakan pada 16 Februari tahun depan.

Berikut adalah keputusan undian hari ini:

  • Gent (Belgium) lwn Wolfsburg (Jerman)
  • AS Roma (Itali) lwn Real Madrid (Sepanyol)
  • Paris St-Germain (Perancis) lwn Chelsea (England)
  • Arsenal (England) lwn Barcelona (Sepanyol)
  • Juventus (Itali) lwn Bayern Munich (Jerman)
  • PSV Eindhoven (Belanda) lwn Atletico Madrid (Sepanyol)
  • Benfica (Portugal) lwn Zenit St Petersburg (Russia)
  • Dynamo Kyiv (Ukraine) lwn Manhcester City (England)