ABL: Dragons tumpaskan juara bertahan Hi Tech
Perlawanan di antara dua pasukan gergasi dalam Liga Bola Keranjang Asean (ABL) dianggap pertemuan yang ditunggu-tunggu selepas Westports Malaysia Dragons kalah 0 - 2 kepada Hi Tech Bangkok City musim lalu.
Kali ini, di Stadium Maba di Kuala Lumpur, Dragons menebus kembali kekalahan lalu dengan mengatasi Hi Tech 77 - 71.
Kemenangan itu juga menempatkan Dragons di tempat kedua manakala Hi Tech jatuh ke tangga ketiga.
Hi Tech yang kalah 65 - 84 di tangan Singapore Slingers dalam perlawanan lalu terpaksa akur dengan kekentalan pertahanan Dragons walaupun mereka diperkuatkan dengan gandingan dua 'gergasi' utama, Steven Thomas dan Christian Charles.
Ketua jurulatih Dragons, Arial Vanguardia berkata dia amat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan ia adalah hasil latihan intensif selama dua minggu sebelum ini.
Keberkesanan taktikal Dragons juga membolehkan pasukan itu mengalahkan Mono Vampire pada minggu lalu.
"Inilah bukti keberkesanan pertahanan Dragons kali ini.
"Bagaimanapun perlu diingat, pertahanan Dragons memang lebih efektif berbanding dulu, tetapi bahagian serangan belum memadai," katanya kepada Malaysiakini .
Dragons akan bertemu Slingers pada Sabtu ini dan ia menjadi perlawanan terakhir mereka untuk tahun ini sebelum ABL berehat selama dua minggu.
Vanguardia berkata dia yakin Dragons mampu mengatasi kelab dari Singapura itu dan kemenangan itu nanti akan melonjakkan pasukan Malaysia ke tempat teratas liga.
Kelmarin pada suku pertama perlawanan berlangsung permainan berjalan agak perlahan kerana Dragons dan Hi Tech masing-masing berhati-hati bertahan.
Apabila tamat suku pertama kedudukan menjadi 23 - 17 dengan Dragons berada di depan.
Belum pun sampai dua minit dalam suku kedua, bibit drama bermula apabila pemain Steven Thomas (Hi Tech) dan Reginald Johnson (Dragons) bertikam lidah sehingga perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika.
Kedua-dua pemain keudian diberi amaran dan foul teknikal.
Selang beberapa minit kemudian, pertengkaran Thomas - Johnson terjadi untuk kali kedua dan stadium menjadi riuh apabila penonton bersorak.
Tempias pertengkaran itu turut terkena kepada Tyler Lamb (Hi Tech) dan Matthew Wright (Dragons).
Keadaan itu menjadian perlawanan Hi Tech - Dragons seolah-olah 'perang mulut' berbanding 'perang bola keranjang'.
Keadaan kembali reda selepas itu dan Hi Tech kembali untuk cuba menyamakan mata pada minit keima apabila Christian Charles (Hi Tech) menyumbangkan enam mata. Ia membolehkan Hi Tech di depan Dragons 31 - 34.
Suku kedua berakhir dengan berpihak kepada Dragons, 43 - 35 dengan pemian Dragons, Matthew Wright dan Jason Brickman mengorak langkah pantas memecahkan barisan pertahanan pihak lawan.
Walaupun Johnson terpaksa direhatkan setelah merekodkan foul kelima, Dragons masih mampu mengasak melalui gandingan Jason Brickman dan Matthew Wright.
Wright menjaringkan 25 mata dan tujuh rebounds manakala Brickman mendapat 14 mata, sembilan rebounds dan enam assist .
Dragons akan bertemu Slingers pada 19 Disember nanti di Kuala Lumpur.

