P‎emain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei melahirkan rasa kecewa terhadap situasi semasa sukan tersebut di Malaysia.

Tekanan untuk mencari pengganti, perkembangan atlet junior dan komitmen sendiri menjadi antara cabaran besar untuk dihadapinya sebelum boleh mengambil langkah untuk bersara.

"Ya, tipulah kalau saya kata saya tidak kecewa, dan semua orang pun (kecewa), bukan saya saja.

"Tapi untuk (diri) saya, saya akan cuba yang terbaik, (dan pada masa sama fikirkan) bagaimana kita boleh tingkatkan ke tahap lebih baik‎ termasuk untuk pemain muda," katanya pada sidang media di program The Legends Vision, di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia berkata, beliau tidak kisah jika penggantinya terdiri daripada pemain kategori lain.

"Seperti YB (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) kata, ‎mungkin pengganti saya pemain wanita atau kategori beregu lelaki dan wanita.

"Yang penting kita ada (pengganti) sebab sekarang kategori perseorangan lelaki, ranking saya di nombor empat dan ‎pemain lain di ranking ke-41.

"Jaraknya agak jauh dan itu kita perlu perbaiki khususnya di kalangan pemain-pemain muda," katanya.

Mengulas apa yang boleh dibantu, Chong Wei berkata, buat masa sekarang setiap pemain mempunyai jurulatih sendiri.

Justeru, katanya, beliau sendiri tidak boleh melebihi tahap tanggangjawab barisan jurulatih tersebut.

"Sebab saya masih pemain dan bukan seorang jurulatih, jadi saya boleh berkongsi apa yang saya hadapi untuk membantu mereka.

"Dari aspek pengalaman ketika perlawanan dan menangani ‎keadaan ketika saya susah, itu kita sentiasa berkongsi dengan pemain lain," jelasnya.