Tanpa pengumuman rasmi, Jose Mourinho kekal sebagai pengurus di Stamford Bridge dan latihan yang dijadualkan hari ini akan tetap berjalan seperti biasa.
Namun Daily Telegraph mendapat maklumat - untuk kali pertama - pengurusan Chelsea sedang membuat pertimbangan serius mengenai masa depan pengurus berasal dari Portugal itu.
Setakat ini antara nama teratas diintai adalah pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola, Diego Simeone ( Atletico Madrid) dan Antonio Conte (Juventus).
Bagaimanapun buat masa ini ketiga-tiga pengurus itu masih terikat dengan kelab masing-masing sehingga musim panas akan datang.
Pada masa sama Guardiola juga sedang diburu Manchester City.
Jika ketiga-tiga pengendali itu gagal diikat, senarai kedua yang diberi perhatian ialah Ronald Koeman (Southampton) dan Unai Emery (Sevilla).
Tidak ketinggalan menjadi perhatian ialah bekas pengendali Chelsea sendiri, Carlo Ancelotti atau Guus Hiddink.
Hiddink ulang sejarah 2009?
Chelsea terus terbenam di kedudukan EPL selepas kalah untuk kali kesembilan awal pagi semalam kepada Leicester City.
Kemenangan Leicester itu membolehkan mereka mengatasi Arsenal yang sebelum ini menduduki tempat pertama EPL dengan perbezaan dua mata.
Pilihan yang terbatas untuk pengganti Mourinho dipercayai menyumbang kepada sikap Roman Abramovich terus meletakkan keyakinan kepada The Special One itu.
Ancelotti dianggap pilihan terbaik jika Chelsea mahu membuat pertukaran ketika ini namun dia sudah menyatakan akan berehat sehingga musim akan datang.
Dia juga diintai Bayern Munich dan Manchester United.
Hiddink pula membayangkan dia berminat menggantikan Mourinho sehingga penghujung musim - senario yang sama ketika dia menjadi pengurus sementara Chelsea pada Februari 2009.
Ketika perkiraan terus dibuat, Chelsea kini hanya mempunyai kelebihan satu mata untuk mengapungkan kelab itu daripada zon penyingkiran.
