Bekas penyerang Liverpool, Andy Carroll menyifatkan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea - ada kemungkinan terkeluar daripada saingan itu musim ini.

Carroll yang kini memperkuatkan West Ham United berkata, situasi itu tidak mustahil terjadi berdasarkan prestasi semasa The Blues.

"Sukar untuk saya bayangkan Chelsea boleh berada di kelompok tiga pasukan terbawah liga.

"Tetapi melihat kepada prestasi mereka sekarang, kemungkinan itu boleh berlaku," katanya seperti dilaporkan media, semalam.

Anak buah Pengurus Jose Mourinho kini berada di tangga ke-16 liga selepas melalui 16 perlawanan.

Malah, kedudukan jurulatih dari Portugal itu juga kini diambang pemecatan susulan persembahan buruk mereka.

Tewas sembilan kali, empat kemenangan dan tiga seri sepanjang musim ini memperlihatkan perubahan kontra The Blues berbanding musim lalu.

"Sungguh gila, melihat kualiti pemain yang ada dalam kelab itu mereka berada di kedudukan (antara) terbawah liga.

"Sukar untuk dipercayai kerana mereka mempunyai pemain hebat dan banyak menghabiskan dana untuk itu," katanya yang turut menyumbang satu gol ketika West Ham menang 2-1 ke atas Chelsea Oktober lalu.

Pada perlawanan seterusnya, The Blues bakal dicabar Sunderland di Stadium Stamford Bridge, Sabtu ini, manakala nasib pengurusnya masih belum diputuskan pengurusan kelab itu.