Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Mourinho pun dipecat dalam 10 minit
Diterbitkan:  Dec 18, 2015 4:48 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Hanya beberapa jam sebelum dipecat, Jose Mourinho menyertai pemainnya menghadiri makan tengah hari menjelang Krismas di pusat latihan Chelsea di Cobham.

Ketika itu suasana yang sepatutnya meriah dengan gurauan dan kegembiraan terasa sedikit hambar.

Pemain Chelsea merasai ada sesuatu yang kurang. Pada diri Mourinho sendiri dia kelihatan muram dan tidak banyak bercakap.

Sebelum itu juga - ketika di padang latihan - Mourinho muncul dengan wajah berserabut dan tidak bercukur.

Semuanya masih tidak terjawab sehingga kira-kira jam 2 petang apabila salah seorang pemain Chelsea berada di dewan makan - pemain lain sudah pulang - melihat pegawai kanan kelab itu datang berkumpul.

Ia mencetuskan khabar angin bahawa masa Mourinho di Stamford Bridge sudah tamat.

Maka mesej sesama pemain pun mula tersebar dan masing-masing membuat spekulasi apa yang akan terjadi.

Ketika itu juga Pengerusi Chelsea, Bruce Buck dan pengarah kelab itu Eugene Tenenbaum memaklumkan kepada Mourinho - dia tidak lagi di perlukan.

Dua jam mengemas pejabat

Kata sumber, pertemuan itu berlangsung hanya selama 10 minit.

Sumber memberitahu boleh dikatakan semua pemain Chelsea sudah meninggalkan Cobham ketika itu dan mereka tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai status Mourinho.

Mereka dan pegawai kelab hanya mengetahui berita pemecatan Mourinho melalui panggilan telefon, mesej teks dan WhatsApp.

Selepas itu Mourinho dilaporkan berada selama dua jam di pejabatnya untuk mengemas barangan yang ada sebelum menaiki kereta Jaguar meninggalkan pusat latihan rasmi The Blues.

Kata sumber, kekalahan kepada Leicester City menjadi punca pemecatan itu apabila Mourinho menuduh pemainnya melakukan sabotaj .

Daily Telegraph mendakwa Mourinho menuduh pemain Chelsea mengkhianatinya sebanyak tiga kali dalam perlawanan yang berkesudahan The Blues kalah 1 - 2 kepada pendahulu EPL itu.

Mourinho didakwa semakin yakin ada pihak tertentu membocorkan rahsia kelab apabila sumber di kelab lamanya, Porto FC memaklumkan mereka tahu cadangannya menggugurkan Cesc Fabregas dalam perlawanan Liga Juara-juara di Stamford Bridge minggu lalu.

Memang Chelsea memenangi perlawanan itu namun bagaimana rancangannya mengetepikan Fabregas membuat Mourinho percaya sekurang-kurangnya ada seorang pemain menjadi musuh dalam selimut.

Mourinho juga percaya cakap-cakap santai di pusat latihan mereka diputar belit untuk menggambarkan dia tidak lagi sesuai menguruskan Chelsea.

Lihat Komen
ADS