Westports Malaysia Dragons - satu-satunya wakil Malaysia dalam Liga Bola Keranjang Asean - bakal bertemu dengan saingannya Singapore Slingers, esok.

Slingers kini menduduki tempat teratas liga selepas memenangi empat perlawanan berturut-turut dan tumpasnya juara bertahan, Hi Tech Bangkok City kepada Dragons minggu lalu memaksa kelab itu berada di tempat kedua.

Dragons - kini di tangga ketiga - menunggu kedatangan Slingers sebelum saingan liga berehat sempena cuti Krismas and tahun baru 2016.

Kemenangan mengejut Dragons ke atas Hi Tech di Kuala Lumpur minggu lalu memang menyebabkan pasukan lain gerun walaupun kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan enam mata saja.

Pasukan Thailand itu jatuh ke tangga ketiga tetapi kembali berkongsi tempat teratas bersama Singapore Slingers selepas mengalahkan Pilipinas MX3 Kings, 67-71.

Malaysia Dragons bersaing dalam perlawanan back-to-back pada November lalu dan memenangi Piala Selat (Straits Cup).

Slingers mengatasi Dragons dalam perlawanan pertama 88 - 85 sebelum Dragons membalas dendam 84 - 79 (perlawanan kedua) pertemuan ketiga esok menjanjikan persaingan sengit untuk dinikmati penonton.

Ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia ketika dihubungi Malaysiakini menyatakan, pemain Malaysia sudah cukup bersedia melayan pasukan seberang Tambak Johor itu.

"Slingers kini bermain pada tahap yang terbaik buat masa ini, dan berada di kedudukan pertama dalam liga.

"Justeru mereka akan turun beraksi dengan keyakinan yang tinggi.

"Kami perlu menggandakan usaha dalam corak permainan Dragons di gelanggang sendiri. Kekalahan itu bukan satu pilihan buat kami," kata Vanguardia.

Vanguardia turut menyatakan Hi Tech dan Slingers mempunyai pemain veteran dan tempatan yang mempunyai pengalaman yang cukup selama beberapa musim.

Beliau menambah, pasukan Dragons perlu mengatasi kelebihan mereka dengan semangat cekal dan kental.

Pertemuan Dragons - Slingers akan diadakan mulai jam 2.30 petang esok di Stadium MABA Kuala Lumpur.