Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keluarga Mohd Sidek Abdullah Kamar dianggap keluarga legenda dalam bidang badminton apabila anak-anaknya menguasai pentas dunia.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 20 tahun, ketika kebuntuan mencari pelapisnya, seorang demi seorang cucu-cucu Sidek mula tampil ke arena sukan tanah air.

Kali ini giliran Muhamad Fazriq, anak Datuk Razif Sidek. Dan umurnya baru 11 tahun.

Tetapi semua itu bagaimanapun tidak dijangka sama sekali.

"Saya pun tidak tahu macam mana, tiba-tiba anak bongsu saya jadi gila badminton," kata Razif, bekas bintang regu badminton negara.

Walaupun masih di sekolah rendah, Razif berkata, anak kelimanya itu sudah mula menunjukkan kesungguhan dalam sukan tersebut, berbeza sama sekali dengan abang dan kakaknya yang lain.

Malah, baru-baru ini, Muhamad Fazriq muncul juara dalam kategori beregu peringkat Majlis Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Selangor.

"Alhamdulillah, masih ada pewaris generasi ketiga Allahyarham Datuk Sidek untuk terus berada dalam arena badminton negara," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Sejarah badminton negara menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh Razif dan adik-beradiknya.

Pada 1982, Razif dan adiknya, Jalani meraih gelaran juara kejohanan All England. Selain itu, mereka turut membantu skuad negara menjulang Piala Thomas 1992.

Kejayaan legasi anak-anak Sidek melalui Misbun, Mohamed Jalani, Razif, Abdul Rahman dan Abdul Rashid telah mengangkat mutu sukan badminton negara ke persada dunia.

Menguasai pentas kira-kira sedekad, sehingga 1990-an, keluarga Sidek itu berjaya meletakkan nama Malaysia di puncak tertinggi sukan itu.

Razif berkata, besar harapan beliau sekeluarga untuk melihat Muhamad Faqriz menjejaki langkahnya sebagai seorang pemain badminton profesional.

"Ada satu ketika pada awal berkecimpung dengan badminton dia kata, ssaya tak nak pergi sekolah, saya nak main badminton'.

"Saya agak terperanjat dan kagum dengan kesungguhannya dan akhirnya kejayaan demi kejayaan dicapai pada tahun ini," jelas legenda 53 tahun itu.

Melihat perkembangan positif itu, Razif berkata, beliau sendiri akan memantau perkembangan Muhamad Fazriq di samping memberi latihan dari semasa ke semasa.

Sukan seronok, kata Fazriq

Sementara itu, pelajar sekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara itu, berkata menceburi sukan badminton adalah untuk menjejaki langkah ayah dan bapa-bapa saudaranya.

"Impian saya memang mahu ikut jejak ayah untuk berjaya dalam sukan badminton dan mengharumkan nama negara di masa akan datang," kata Muhamad Fazriq kepada Malaysiakini .

Muhamad Fazriq berkata demikian ketika hadir ke program The Legend Vision di Stadium Badminton Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Muhamad Fazriq, minat terhadap badminton bercambah dalam dirinya berikutan selalu mengikut Razif bermain badminton dan acara pertandingan sukan itu.

"Saya rasa badminton satu sukan yang menyeronokkan, daripada kecil saya terdedah dengan badminton secara sendirinya jadi minat.

"Lagi pula ayah selalu beri sokongan dan tunjuk ajar membuatkan saya terus bersemangat untuk bermain badminton dengan lebih serius," katanya yang berhasrat menyertai lebih banyak pertandingan selepas ini.

Selain Muhamad Fazriq, antara cucu Sidek yang lain menceburi sukan badminton adalah anak Datuk Misbun Sidek iaitu Misbun Ramdan dan Misbun Syawal.

Lihat Komen
ADS