Persatuan Bolasepak Daerah Port Dickson dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Shell Refining Company Bhd akan menganjurkan Kejohanan Bolasepak Pantai Sepanjang Malam 1Malaysia 2015 di Pantai Saujana di Port Dickson pada 31 Dis ini.

Yang Dipertua MPPD Datuk Ab Khalid Mat berkata kejohanan itu akan bermula pukul 8 malam (31 Dis 2015) dan dijangka berakhir pada pukul 10 pagi keesokannya (1 Jan 2016).

"Ini merupakan penganjuran bagi tahun yang keenam dan ia bermatlamat untuk memupuk minat dalam kalangan remaja khasnya terhadap aktiviti sukan. Melalui kejohanan ini juga, kita berharap dapat meningkatkan aktiviti pelancongan sukan serta menambahkan kemeriahan sempena sambutan tahun baru 2016," katanya kepada Bernama di Port Dickson, hari ini.

Katanya kejohanan pada tahun ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM4,500 untuk johan, naib johan RM2,500, tempat ketiga RM1,500, tempat keempat RM1,000 manakala pasukan yang layak ke pusingan suku akhir masing-masing akan menerima RM500.

Katanya penyertaan adalah dibuka kepada semua pasukan dari dalam dan luar Negeri Sembilan.

"Kejohanan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas, borang penyertaan boleh didapati di Pejabat Daerah Port Dickson, MPPD dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Port Dickson.

"Selain itu, borang penyertaan juga boleh dimuat turun di laman web MPPD (www.mppd.gov.my)," katanya.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ahmad Zabrin Zainal di talian 017-3009843 dan Hamdan Ab Aziz di talian 016-6509949/ 013-6089437.

Bayaran masuk untuk kejohanan ini adalah sebanyak RM100 bagi setiap pasukan.

- Bernama