Tewas 0-3 kepada Watford selaku tuan rumah memberi tamparan besar buat Liverpool dan pengurusnya, Jurgen Klopp. Namun tanggungjawab besar dipikul oleh penjaga gol mereka, Adam Bogdan.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung malam tadi, gol Watford dijaringkan Nathan Ake seawal minit ketiga.

Bagaimanapun, gol berkenaan mencipta kontroversi apabila bola dikatakan ditendang dari tangan Bogdan sebelum melewati palang gol.

"Memang kesilapan saya kerana menjatuhkan bola pertama, tetapi saya rasa sudah menangkap semula dan Ake tetap menendangnya.

"Sepatutnya saya tidak jatuhkan bola pertama dan gol tidak akan berlaku," kata Bogdan seperti dilaporkan BBC.

"Saya telah menangkap bola dengan kedua tangan, tetapi kita bercakap soal kejadian dalam sekelip mata. Tidak mudah untuk pengadil melihat keadaan itu," katanya yang tidak mahu menyalahkan pengadil, Mark Clattenburg.

Bordan sebaliknya mahu menjadikan kesilapan itu sebagai pengajaran dan berjanji akan berlatih bersungguh-sungguh untuk perlawanan akan datang.

"Saya perlu bekerja keras dengan peluang yang ada walaupun dimulakan dengan mimpi negeri. Jadi saya tidak salahkan pengadil atau orang lain.

"Saya perlu lebih berlatih dengan bersungguh-sungguh," katanya

Sementara itu, dua lagi jaringan Odion Jude Ighalo sekali gus menamatkan kekalahan 29 tahun kepada Liverpool buat Watford di Stadium Vicarage Road.

Ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut Watford dalam aksi liga musim ini, manakala kali terakhir Watford menewaskan Liverpool ialah pada 1986 di gelanggang sendiri.

Liverpool yang masih tercari-cari kemenangan selepas gagal melakukannya dalam tiga perlawanan sebelum ini memperkemaskan permainan namun gagal memecahkan benteng lawan yang berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Sebaliknya Watford mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua Ighalo pada minit ke-15 apabila berjaya mengatasi halangan pertahanan Martin Skrtel selepas menerima hantaran dari tengah.

Ketika perlawanan berbaki lima minit, Ighalo menebus menambah duka The Kop apabila menjaringkan gol ketiga menerusi tandukan kemas.