TMJ: FAM tidak telus, bola sepak masih korup
Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini membalas kenyataan pihak Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dalam isu penganjuran Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABSK).
Dalam jawapan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FMLLP, Kevin Ramalingam, Tengku Mahkota Johor itu membidas Kevin yang didakwanya tunduk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sistem bolasepak negara yang didakwanya masih korup.
"Saya tahu di mana letaknya kesetiaan anda dan dibayar setiap bulan oleh FMLLP, dan tidak silap saya, dibayar setiap bulan oleh FAM," kata TMJ dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tiger, hari ini.
Tunku Ismail turut mempertikai pencalonan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan bagi kategori jurulatih terbaik sedangkan jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tidak tercalon meskipun pasukannya menjulang Piala Malaysia.
Manakala penyokong Pahang pula menerima anugerah penyokong terbaik.
"Berikan satu lagi sebab, saya sangkakan pembakaran suar tidak dibenarkan, tetapi penyokong Pahang menerima anugerah sedangkan mereka kerap kali membakar suar?
"Saya tidak kisah, dan saya tiada sebarang masalah dengan penyokong Pahang. Saya tiada sebarang masalah dengan Pahang, saya juga mempunyai keluarga daripada Pahang, tetapi di sini saya cuma menjelaskan perkara prinsip," tegasnya.
Kevin dalam laporan media hari ini, membalas kenyataan TMJ dengan mendakwanya 'keliru' dengan keputusan anugerah berprestij di Malaysia itu.
Menurut Kevin, pemenang ABSK adalah 100 peratus ditentukan oleh 72 pengundi dan bukan keputusan FAM.
FMLLP adalah agensi yang ditubuhkan hasil kerjasama antara FAM selaku badan induk bola sepak negara dan penganjur perlawanan di Malaysia dengan syarikat perunding media antarabangsa, MP & Silva.
"Ramai kongsi pandangan saya"
Tampil menjawab Kevin, Tunku Ismail berkata pandangannya mengenai sistem bolasepak negara dan FAM turut dikongsi bersama peminat sukan bola sepak negara.
"Mungkin saya selalu bersuara mengenainya, tetapi ramai yang berkongsi pandangan saya bahawa bolasepak Malaysia masih amat korup. Saya juga ingin menyeru kepada segelintir penyokong bola sepak tanahair supaya membuka minda anda dan jangan terlalu mengikut emosi.
"Ada di antara anda semua tahu bahawa FAM tidak telus tetapi terus menyokong FAM disebabkan anda cemburu akan pencapaian organisasi bola sepak yang saya bangunkan.
Anda tak perlu bersetuju dengan semua kenyataan saya, kerana ini bukan tentang saya tetapi berkenaan bola sepak negara ini," jelas beliau.
Sebelum mengakhiri kenyataannya, Tunku Ismail berpesan supaya Kevin menangani gejala kotor dalam arena bola sepak negara.
"Jika anda benar-benar ingin membantu bolasepak Malaysia, mudah sahaja. Pertama sekali, tangani gejala mengatur perlawanan. Kedua, pengadil mestilah diuruskan badan bebas dan dipantau oleh SPRM.
"Akhir sekali, setiap pasukan bertanding mestilah menerima bahagian mereka secara adil daripada hasil penyiaran, supaya mereka tidak terbeban.
"Pastikan perkara ini dilaksanakan terlebih dahulu daripada cuba mengampu orang atasan dan pergi ke percutian berbayar kelas pertama, sedangkan orang lain bergelut setiap hari dengan sistem ini, berhadapan dengan orang seperti anda dan sekutu," katanya.

