Bergasak di gelanggang: 4 dihukum ABL
Kerana terbawa-bawa perseteruan dalam gelanggang ke luar, empat pemain dikenakan tindakan oleh jawatankuasa pengendali Liga Bola Keranjang Asean (ABL), termasuk dua daripadanya digantung perlawanan.
ABL hari ini mengumumkan, selepas membuat siasatan terhadap beberapa insiden yang berlaku dalam perlawanan antara Westports Malaysia Dragons dan Singapore Slingers pada Disember 19 lalu, mereka mendapati ada alasan untuk mengenakan tindakan berkenaan.
Ketua pasukan Dragons, Kwaan Yoong Jing, dan pemain veteran Slingers, Wong Wei Long menerima tindakan paling serius iaitu digantung permainan dan didenda.
Yoong Jing, 26, digantung satu perlawanan dan didenda untuk suatu jumlah yang tidak didedahkan.
Dia didapati 'terjebak' dalam insiden lalu kerana mengejar Wei Long selepas pemain terbabit menumbuk pemain Dragons, Wong Yi Hou.
Untuk Wei Long pula, dia digantung dua perlawanan dan didenda - juga tidak dinyatakan jumlahnya - kerana menumbuk Yi Hou selepas perlawanan Sabtu lalu.
Tiada tolak ansur
Wei Long adalah bekas pemain tempatan terbaik ABL pada musim lalu.
Sementara itu dalam insiden lain, Wu Qingde (Slingers) dan Calvin Godfrey (Dragons) didenda atas kelakuan tidak beretika ketika perlawanan.
Qingde didapati bersalah melakukan foul yang mungkin mencederakan pemain Dragons, Matthew Wright semasa cuba membuat jaringan.
Godfrey pula tidak berpuas hati dengan tindakan Qingde kemudian menolak pemain berkeaan dengan kasar.
Ketua Pegawai Operasi ABL Jericho Illagan berkata bahawa perlawanan Dragons - Slingers berlangsung sengit bagaikan persaingan antara pasukan kebangsaan Malaysia dan Singapura.
"Akan tetapi, kami sebagai pengajur harus menetapkan peraturan.
"Liga ini tidak bertolak ansur dengan perbuatan yang keterlaluan dan tingkah laku yang tidak patut apabila buzzer terakhir dibunyikan.
"ABL bertujuan untuk menggalakkan semangat kesukanan yang tinggi melalui bola keranjang di rantau Asia Tenggara dan para pemain harus menjadi contoh yang baik buat peminat sukan bola keranjang," katanya.
Sementara itu pengurus pasukan Dragons, Yakub Hussaini berkata pihaknya sudah menghubungi pemain yang terlibat untuk memaklumkan mengenai hukuman penggantungan dan denda yang dikenakan.
Bercakap kepada Malaysiakini , beliau memberitahu Dragons juga akan memberi nasihat kepada dua pemain tersebut selepas cuti Krismas nanti.
"Selepas cuti dua minggu, kami akan bertemu dengan Kwaan (Yoong Jing) dan Calvin (Godfrey) berkenaan dengan penggantungan dan denda.
"Pihak pengurusan akan menasihati mereka langkah-langkah seterusnya untuk merayu hukuman tersebut kerana ini merupakan kesalahan pertama dalam liga ABL.
"Saya kenal Ketua Pegawai Operasi ABL (Illagan) secara peribadi dan saya percaya beliau seorang yang bertimbang rasa. Saya berharap beliau terbuka kepada rayuan pihak Dragons," ujar Yakub.

