Walaupun sudah memiliki Guus Hiddink di Stamford Bridge, pemilik Chelsea dilaporkan tetap mengimpikan kelabnya diuruskan oleh Pep Guardiola yang memiliki reputasi tinggi di Eropah.

Difahamkan, Roman Abramovich pernah memaklumkan kepada rakannya, sasaran utama Chelsea untuk mengisi tempat Jose Mourinho secara jangka panjang adalah Guardiola.

Katanya, Abramovich bersedia membelanjakan berapa saja wang yang diperlukan bagi membawa Guardiola ke Stamford Bridge ketika nama pengurus Bayern Munich berkenaan disebut-sebut akan ke Manchester City.

Minggu lalu Guardiola mengumumkan dia akan meninggalkan Bayern selepas kontraknya tamat musim panas ini. Tempatnya akan diisi Carlo Ancelotti.

Di sana Guardiola menerima gaji kira-kira £16 juta (RM102.45 juta) setahun menjadikan dia sebagai pengurus paling mahal di dunia.

City - yang dimiliki hartawan Arab - bersedia mencabar tawaran Abramovich yang sebelum ini menggaji Mourinho £13 juta (RM83.24 juta) setahun.

"Guardiola tetap idaman Abramovich. Dia pengurus pilihan pertamanya," kata sumber itu kepada akhbar Express.

Wang jadi faktor utama

City menganggap mereka mempunyai kelebihan memikat Guardiola, 44, kerana bekas pegawainya di Barcelona, Txiki Begiristain, kini berada bersama Citizens.

Masalah Abramovich ketika ini ialah, prestasi Chelsea pada musim ini terlalu teruk dan ia boleh mengendurkan minat pengurus berprofil tinggi seperti Guardiola.

Kecuali memenangi Liga Juara-juara kali ini, kemungkinan besar The Blues tidak akan dapat menempatkan diri dalam saingan liga pada musim depan.

Chelsea juga perlu menyediakan peruntukan besar untuk membina semula skuad berkenaan apabila beberapa nama besar dalam kelab itu mungkin diketepikan atau berhijrah ke kelab lain.

Kesimpulannya, masa depan Chelsea tetap terletak pada faktor wang sebagai tarikan utama.

Guardiola pernah menolak tawaran Chelsea pada 2013 namun di hati Abramovich, pengurus kelahiran Sepanyol itu tetap dikaguminya.

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, adalah pilihan kedua seandainya Guardiola sekali lagi menolak ke Stamford Bridge.