Kelantan uji tiga pemain import
Kelantan menguji tiga pemain import bagi mengisi tiga kekosongan kuota pemain berkenaan untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Ketua jurulatih Kelantan K Devan berkata setakat ini, Kelantan menguji seorang pemain dari Nigeria, David Nworah pada minggu lepas, manakala Christopher Omoseibi Elijah pula baru tiba di Kota Baharu, kelmarin.
"David Nworah telah pulang beberapa hari lepas kerana tidak memenuhi tiga kriteria ditetapkan - kemahiran, bekerja keras dan memiliki semangat berpasukan yang tinggi.
"Tiga kriteria ini dititikberatkan supaya pemain yang dipilih menyertai pasukan mampu memberi impak berkualiti dalam saingan musim hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
K Devan, bagaimanapun tidak memberitahu seorang lagi pemain import yang bakal diuji Kelantan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, K Devan berkata pihaknya mempunyai masa kira-kira dua bulan sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengisi kekosongan kuota tiga pemain import TRW.
"Ia berikutan tiga pemain import musim ini, Erwin Carrillo, Austin Amutu dan Gilmar Jose Dos Santos menamatkan kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan menyertai pasukan lain musim depan," katanya.
Ditanya mengenai persiapan sebelum sepak mula Liga Malaysia bermula bulan depan, K Devan berkata beliau kini memberi fokus dalam meningkatkan kecergasan pemain yang lama berehat akibat kecederaan.
"Antara pemain terbabit termasuk Nor Farhan Mohammad, Brendan Gan dan Manaf Mamat yang kini mereka telah pulih daripada kecederaan.
"Saya juga memberi fokus dalam membentuk pasukan dan merancang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk menilai keupayaan setiap pemain sebelum diletakkan di posisi yang bersesuaian dengan kemahiran mereka," katanya.
- Bernama

