Hanya kemenangan dapat selamatkan Van Gaal
Walaupun sedang berdepan pemecatan, Louis Van Gaal sebagai Pengurus Manchester United (MU) dilihat masih berpeluang mempertahankan kedudukan beliau.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada dua perlawanan seterusnya di kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas prestasi teruk The Red Devil sejak enam perlawanan lalu.
Selain tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini, MU turut terkandas daripada melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara Eropah.
Media di England menggambarkan, Van Gaal mempunyai dua peluang untuk menyelamatkan jawatannya iaitu berdepan Stoke City dan Chelsea.
"Berita mengenai nasib Van Gaal hanya gosip media susulan mereka memerlukan berita baru. Namun, hanya kemenangan dapat selamatkan beliau," kata Bodewijin Zenden, bekas pemain kebangsaan Belanda seperti dilaporkan Omnisport, semalam.
"Perlawanan pada bulan Disember sangat ketat dan cepat. Itu dapat menentukan berjaya atau tidak (pasukan) dalam satu musim," jelas bekas anak didik Van Gaal.
Sementara itu, Van Gaal dilaporkan masih disokong barisan pemainnya walaupun prestasi kelab merosot.
"Pengurus telah lakukan yang terbaik. Ini bukanlah saat paling teruk bagi pasukan.
"Tak perlu tanya keadaan di bilik persalinan. Pemain sangat fokus untuk bermain dengan baik demi pengurus, penyokong dan kami sendiri dari minggu ke minggu," kata pemain pertahanan MU, Phil Jones.
Tambah Jones, situasi mereka kini masih lebih baik berbanding ketika dibimbing David Moyes dua musim lalu.
Kelab dari Old Trafford itu kini berada di tangga kelima EPL dengan pungutan 29 mata dan ketinggalan sembilan mata berbanding Leicester city di puncak liga.

