Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ancelotti: Mourinho terbuang kerana pemain
Diterbitkan:  Dec 23, 2015 4:47 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Bekas pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti percaya Jose Mourinho menjadi mangsa kepada pemain Chelsea yang kurang motivasi.

Pernah menjadi pengurus di Stamford Bridge, Ancelotti pada masa sama berkata, tidak mudah untuk mengekalkan motivasi pemain selepas berjaya meraih gelaran tertentu.

"Itulah masalah seorang pengurus. Dalam suatu kumpulan sentiasa ada masalah yang perlu diatasi. Misalnya ada pemain yang bagus dan pada masa sama ada yang kurang bagus," katanya kepada Goal.com.

Mourinho dipecat Chelsea pada minggu lalu selepas kelab elit berkenaan berada di kedudukan ke-16 dan hanya dibezakan satu mata daripada tiga pasukan tercorot.

Bakal mengendalikan Bayern Munich pada musim depan, Ancelotti berkata, apabila sesebuah pasukan menunjukkan prestasi baik ada kemungkinan pemain tidak serius di padang.

Ketika prestasi pasukan merudum pula, akan ada pemain yang goyah keyakinan.

"Tugas pengurus adalah menyeimbangkan keadaan itu dan menaikkan keyakinan pemain jika situasi tidak menyebelahi pasukan mereka," katanya.

Tahun ini amat berbeza

Mengenai Chelsea, Ancelotti berkata, harapan menggunung diletakkan di bahu Mourinho selepas kelab itu menunjukkan keupayaan cemerlang pada musim lalu.

Bagaimanapun apabila keadaan menjadi sebaliknya dan permulaan musim 2015/16 tidak seperti tahun lalu, tekanan mula dirasai semua pihak.

"Tahun ini keadaan amat berbeza dan Mourinho menjadi mangsa kepada tahap rendah motivasi pemain," katanya.

Sebagai bekas pengurus Chelsea, Ancelotti tentu faham benar keadaan di Stamford Bridge.

Walaupun pernah membawa The Blues memenangi kejuaraan berganda pada musim pertama di Chelsea, Ancelotti kemudian dipecat pada hujung musim berikutnya hanya kerana kelab itu berada di tempat kedua liga.

Selepas itu Ancelotti, 56, berjaya membawa kelab Paris Saint-Germain dan Real Madrid menjuaral Liga Juara-juara.

"Apa yang penting adalah mewujudkan hubungan baik antara pengurus dan pemain bagi membolehkan keyakinan bersama dibawa ke padang," katanya.

Lihat Komen
ADS