Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyifatkan dua pelumba trek pelapis negara, Muhd Arfy Qhairant Amran dan Anis Amira Rosidi mempunyai masa depan cerah dalam acara trek berbasikal di peringkat antarabangsa.

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata penampilan semula Muhd Arfy penting bagi membantu skuad berbasikal trek meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Katanya pelumba trek itu merupakan seorang atlet yang berpengalaman luas dan masih kompetitif walaupun menyepi hampir setahun dalam sukan berbasikal.

"Arfy adalah seorang atlet yang tahu macam mana hendak menang. Beliau merupakan atlet berpengalaman. Dia juga pernah mengalahkan Mohd Azizulhasni Awang dulu.

"Memang kehadiran dia akan memantapkan persediaan pelumba trek negara untuk Sukan SEA. Arfy ada masa setahun setengah sahaja untuk memperbaiki dan mempertingkat prestasi. Acara trek merupakan lubuk pingat emas pada Sukan SEA nanti," kata Naim ketika ditemui di Velodrom Cheras, semalam.

Selepas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, acara trek tidak dipertandingkan dalam acara dwitahunan itu.

Naim berkata Muhd Arfy kini berusia 22 tahun semakin matang dalam pengurusan kariernya selepas menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan merupakan pelumba trek berbakat besar.

Beliau merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Trek Piala Asia ACC 2011 terpaksa berhenti seketika dalam sukan berbasikal hampir setahun bermula tahun 2014 kerana perlu menjalani latihan rekrut dengan PDRM.

Namun beliau tetap meneruskan latihan bersama PDRM dan kini diserapkan semula dalam skuad pelapis negara bagi persediaan Sukan SEA akan datang.

Dalam pada itu, Naim juga berpuas hati dengan pencapaian atlet remaja wanita negara seperti Anis Amira Rosidi dan Zulaikha Mat Yusof dan beberapa pelumba trek wanita pelapis yang lain pada tahun ini.

"Sebenarnya kita bimbang jika tiada pengganti Fatehah Mustapa. Saya puji semangat tinggi yang ditunjukkan oleh atlet pelapis seperti Anis dan Zulaikha, mereka mempunyai bakat yang besar. Harapan saya mahu melihat mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi dan mengharumkan nama negara," katanya.

Anis Amira meraih empat pingat emas dan dua pingat perak dalam Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan (Trek) yang berakhir semalam.

Muhd Arfy dan Anis Amira merupakan dua muka baharu berbakat besar memerlukan program serta bimbingan yang baik untuk digilap menjadi seperti Azizulhasni, Fatehah Mustapa, Jupha Somnet dan bekas atlet trek negara Josiah Ng.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS