Tanda tanya siapa jurulatih Selangor akhirnya terjawab apabila Zainal Abidin Hassan secara rasmi disahkan mengemudi pasukan Selangor untuk mengharungi Liga Malaysia 2016.

Bekas jurulatih Pahang itu, ditawarkan kontrak selama dua tahun bersama gergasi Lembah Klang sekaligus mengesahkan penyingkiran Mehmet Durakovic yang sebelum ini membimbing Selangor melunaskan kejuaran ke-33 Piala Malaysia.

Pengurus Selangor, Amirudin Shari berkata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memilih Zainal selepas mengambil kira pengalaman dan pencapaian selaku jurulatih sejak hampir 14 tahun lalu.

Katanya, Zainal akan memulakan tugas rasmi jurulatih Selangor esok akan mengemudi latihan pasukan bermula 5 Januari 2016.

“Kehadiran Zainal Abidin Hassan juga diharap dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan kem kejurulatihan Selangor bagi menghadapi musim 2016 yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kedudukan Mehmet Durakovic, Amirudin berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama bahawa kontrak beliau ditamatkan lebih awal dengan bayaran penebusan kontrak.

Terdahulu menurut beliau, FAS menawarkan peranan baharu kepada Mehmet Durakovic untuk membimbing bakat muda namun beliau memilih untuk berehat sementara bersama keluarga.

“FAS akan mencari masa sesuai bagi menyelaraskan semula penglibatan Durakovic untuk pembangunan masa depan bola sepak Selangor.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas daya usaha dan bakti selama beliau berada di dalam pasukan ini,” katanya lagi.

Selain itu, beberapa muka baharu pembantu jurulatih telah turut dipilih bagi membantu Zainal Abidin.

Antaranya, K Gunalan selaku Penolong Jurulatih, Azlisham Ibrahim sebagai Jurulatih Penjaga Gol dan Norhudahiroshi Razak sebagai Jurulatih Kecergasan

Sementara itu Amirudin berkata, FAS juga menandatangani secara rasmi pemain import Patrick Ronaldinho Wleh selama setahun sebagai pemain import ketiga The Red Giants.

Jelasnya, kemasukan bekas penyerang Sime Darby dan PKNS itu diharap dapat memperkuatkan lagi jentera serangan Selangor yang akan turut dibantu penyerang tempatan.

"Selain itu, FAS dalam proses penilaian akhir untuk mengikat pemain import keempat yang berasal dari Amerika Latin bagi posisi penyerang‎," ujarnya.