Kelantan akan menguji dua pemain import dari Brazil pada perlawanan persahabatan menentang Air Asia All Star di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md Nor berkata dua pemain itu adalah David Carlos, 28, dan Andre Luiz, 30, yang tiba di Kota Baharu Sabtu lepas.

"Kedua-dua pemain itu akan beraksi di posisi penyerang selepas ia dikosongkan oleh pemain import terdahulu.

"Setakat ini, kita menguji lima pemain import, namun hanya Lee Kil Hoon dari Korea Selatan yang masih diberi peluang menjalani latihan bersama The Red Warriors," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Baharu, hari ini.

Ditanya mengenai isu penajaan oleh Vida Beauty Sdn Bhd, beliau berkata perbincangan berkaitan perkara berkenaan masih berjalan.

"Buat sementara waktu, tiada perkembangan terbaharu berkaitan isu berkenaan dan saya tidak mahu mengulas lanjut. KAFA masih dalam perbincangan dengan syarikat berkenaan dan kita harap ada keputusan yang baik," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pengasas Vida Beauty Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida bersedia untuk menaja pasukan Kelantan, musim ini.

Namun, beliau meletakkan dua syarat iaitu warna stadium dicat dengan merah jambu serta nama pasukan diubah kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

- Bernama