S'gor anggap Qu Puteh cekap manipulasi keadaan
Pengurus pasukan bola sepak Selangor, Amirudin Shari mendakwa, strategi pemasaran pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman cekap memanipulasi keadaan.
Mengulas mengenai minat syarikat produk Qu Puteh itu menaja skuad The Red Giant, beliau berharap peminat tidak "teruli" sama.
"The Red Giants dan The Red Warriors (TRW) sedang diuli oleh strategi pemasaran Datuk Vida (Hasmiza).
"Untuk Selangor saya boleh sahkan tiada sebarang perbincangan," katanya di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Hasmiza dilaporkan berminat untuk menaja pasukan Selangor sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) enggan mengikut dua syarat yang telah ditetapkan untuk menaja pasukan tersebut.
"Secara lisan mereka (Kelantan) setuju, namun kalau Kafa tidak mahu ikut syarat saya, saya pergi taja Selangor," beliau dipetik sebagai berkata.
Sebelum ini, Hasmiza menyatakan kesudian menaja pasukan TRW dengan dua syarat iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dicat semula dengan warna kegemaran beliau iaitu merah jambu.
Syarat kedua pula adalah dengan menamakan semula pasukan Kelantan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) seperti pasukan Negeri Sembilan yang telah dijenamakan semula sebagai NS Matrix.
Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang sedang menunaikan umrah dan dijangka membuat sebarang pengumuman mengenai penajaan itu sebaik pulang ke tanah air.

