Guardiola kian hampiri England
Pep Guardiola sekali lagi menyuarakan rasa hatinya tanpa teragak-agak bahawa dia mahu melalui pengalaman sebagai pengurus kelab bola sepak di England.
Kini dilaporkan menguasai bahasa Inggeris dengan baik, pengurus kelahiran Sepanyol itu mendakwa dia mendapat beberapa tawaran daripada pihak tertentu di England namun belum ada sebarang kontrak ditandatangani.
"Apabila saya ada kelab baru untuk diuruskan, saya akan maklumkan anda," katanya.
Guardiola, 44, sudah mencipta nama yang harum ketika dia mengendalikan kelab Barcelona sebelum ini dan kini sedang berada di fasa terakhir perkhidmatannya di Jerman bersama Bayern Munich.
Dia disahkan tidak akan menyambung kontraknya di Jerman dan penggantinya juga sudah diumumkan - Carlo Ancelotti.
Kata Guardiola kini adalah masa paling tepat untuknya mengembangkan kerjaya di England.
"Usia saya kini adalah masa yang betul untuk ke England. Itulah sebab mengapa saya mengambil keputusan ini," katanya.
Setakat ini Manchester City disebut-sebut akan mengikat Guardiola walaupun kelab itu mengesahkan tiada sebarang perjanjian ditandatangani antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun penganalisis berpendapat, kata kunci kepada kenyataan itu ialah "tiada perjanjian ditandatangani" - bermakna tidak mustahil perbincangan lisan sudah diadakan.
Guardiola juga mempunyai hubungan baik dengan bekas Ketua Eksekutif Barcelona, Ferran Soriano dan pengarah bola sepak kelab itu, Txiki Begiristain, yang kini bertugas di City.
Pada masa sama kekosongan yang ketara di EPL ialah di Stamford Bridge. Umum mengetahui pemilih Chelsea, Roman Abramovich sudah melakukan beberapa percubaan membawa Guardiola ke kelabnya.
Sumber juga menyatakan Abramovich menyediakan 'cek kosong' untuk Guardiola menetapkan sendiri gaji yang diingininya.
Manchester United pula kurang menyerlah dalam perlumbaan mendapatkan Guardiola. Ia bukan disebabkan mereka tidak menggemarinya tetapi menyedari hati Guardiola sudah terpaut pada kelab lain.
Guardiola pernah menyatakan, selepas berkhidmat di England barulah dia akan menukar haluannya untuk mengendalikan pasukan kebangsaan mana-mana negara yang berminat.

