Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bukan sekadar mahu menaja pasukan bola sepak, malah pengasas produk kecantikan Pamoga Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman juga menyimpan cita-cita memiliki pasukan bola sepak sendiri.

Disebut-sebut bakal menjadi penaja pasukan Kelantan, beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, cita-cita itu berputik apabila mengenang minat arwah anaknya terhadap sukan itu.

Untuk makluman, dua anak beliau - masing-masing berusia 10 dan 11 tahun - meninggal dunia selepas menjadi mangsa kebakaran dua tahun lalu.

"Saya menanam satu impian untuk mempunyai pasukan sendiri. Sebab arwah anak saya sangat minat dengan bola sepak.

"Ketika itu dia ada pasukan sendiri, jersi dan penaja. Saya terkejut juga. Saya juga ada cadangan nak buat satu padang bola ketika itu untuk mereka‎," katanya ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Susulan itu, langkah yang diambil untuk menjadi penaja skuad The Red Warriors (TRW) adalah ke arah merealisasi ‎hasrat tersebut.

Malaysiakini semalam melaporkan, kontrak antara syarikat Vida Beauty‎ Sdn Bhd milik Vida dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal diketahui hari ini.

Bagaimanapun, dua syarat ditetapkan oleh jutawan kosmetik itu iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu dan nama TRW didahului dengan Pamoga Qu Putih.

"Walaupu anak saya dah pergi, sebagai ibu perasaan ‎merasakan (arwah) anak bersama saya," katanya.

Tambah Vida, beliau mempunyai perancangan tersendiri sekiranya berjaya menjadi penaja pasukan negeri kelahirannya itu.

"Ia bukan saja melibatkan TRW, tetapi ada buat perancangan di peringkat akar umbi. ‎ Saya akan buat dengan cara sendiri.

"Pastinya harapan saya adalah kemenangan dan TRW muncul sebagai pasukan hebat bukan saja dalam negara malah di peringkat Asia," jelasnya.

Lihat Komen
ADS