Naib Presiden Honda Racing, Shuhei Nakamoto percaya sepanjang kerjaya pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi, dia sentiasa dikelilingi musuh.

Walaupun tewas untuk menjuarai kejuaraan MotoGP, Nakamoto percaya Rossi akan bangkit semula untuk kejuaraan musim depan kerana pelumba itumempunyai ciri juara sejati dalam dunia pemotoran.

"Sepanjang kariernya, beliau sentiasa dikelilingi musuh: Sete Gibernau, Max Biaggi, Casey Stoner.

"Ini yang membuat saya suka mengenai Rossi. Ia menunjukkan Rossi hanya insan biasa, dia bukan Tuhan " kata Nakamoto.

Rossi baru-baru ini dipilih sebagai penunggang pilihan BSN MotoGP musim 2015 dalam laman popular peminat sukan bermotor, Biker Sport News.

Hasil undian memperlihatkan Rossi dinobatkan sebagai penunggang pilihan ramai dengan meraih 58.73 peratus sokongan responden, diikuti Jorge Lorenzo di tempat kedua dengan pungutan 12.35 peratus.

Nakamoto menambah, beliau percaya Rossi mahupun Marquez tidak sepatutnya dipersalahkan dalam insiden di litar musim lepas.

Namun Nakamoto dalam temubualnya berharap kedua-dua pelumba itu dapat membuktikan kemampuan masing-masing pada musim akan datang.

Dan dia menjangkakan dapat melihat pelumbaan bersih daripada kedua pelumba tersebut.

"Marquez sentiasa berlumba untuk menang, dan cuba untuk memintas setiap kali beliau mendapat peluang.

"Di Sepang, kedua-dua mereka telah membuat kesilapan; mereka perlahan antara satu sama lain dan membenarkan Pedrosa dan Lorenzo memintas." katanya

Musim MotoGP 2016 bermula pada 20 Mac depan di Qatar.